Focus Point diramal terus catat pendapatan stabil didorong rancangan pengembangan perniagaan berterusan - HLIB | DagangNews Skip to main content

Focus Point diramal terus catat pendapatan stabil didorong rancangan pengembangan perniagaan berterusan - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research meramalkan Focus Point Holdings Bhd terus memberikan prestasi pendapatan teguh sepanjang FY24 didorong rancangan pengembangan perniagaan berterusan.

 

Katanya, secara keseluruhan kedua-dua segmen iaitu optik serta makanan dan minuman (F&B) menunjukkan prestasi yang baik pada 2QFY24 dengan mencatatkan pertumbuhan jualan dua digit.

 

"Kami mendapati bahawa kumpulan itu membuka tiga cawangan optik baharu pada suku kedua 2024 dan menyasarkan untuk membuka lima lagi menjelang akhir tahun.

 

"Bagi segmen optik, kami mendapati hasil pada separuh pertama 2024 dipacu lonjakan ketibaan pelancong, pengembangan kedai optik dan kemasukan pelanggan korporat baharu yang menyumbang kepada perbelanjaan berterusan dalam produk optik.

 

"Mengenai F&B, kami memuji pemulihan yang dicatatkan pada suku ini dan berpendapat momentum positif akan berterusan memandangkan lebihan isu pekerja asing telah diselesaikan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 16.5% kepada RM8.43 juta pada 2QFY24 berbanding RM7.24 juta setahun lalu, disokong hasil lebih tinggi dalam perniagaan optik dan pemulihan keuntungan dalam segmen F&B.

 

Hasil bagi 2QFY24 meningkat 12.1% kepada RM70.61 juta daripada RM62.99 juta dan pada 1HFY24 jumlah keuntungan bersih meningkat 19.4% tahun ke tahun kepada RM15.85 juta, manakala pendapatannya meningkat 13.2% kepada RM138.91 juta.

 

HLIB yakin terhadap model perniagaan kumpulan itu dan menganggap kedua-dua segmen perniagaan itu bersedia untuk meneruskan trajektori pertumbuhan dengan ekuiti jenama serta populariti produk Komugi.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.14 sesaham.- DagangNews.com