Fokus perbankan digital, HSBC dijangka tutup 13 cawangan | DagangNews Skip to main content

Fokus perbankan digital, HSBC dijangka tutup 13 cawangan

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Sebagai langkah transformasi ke arah perbankan digital, HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC Malaysia) dijangka menutup 13 cawangan menjelang 31 Disember 2021. 

 

Kumpulan itu menekankan komitmen perniagaan di Malaysia sebagai pasaran pertumbuhan utamanya dengan mengembangkan kewujudan bank di dalam perbankan digital menerusi langkah tersebut. 

 

“HSBC ketika ini sedang menumpukan ke arah pelaburan untuk mentransformasikan masa hadapan perbankan menerusi digital dan sebagai sebahagian daripada transformasi ini, sebanyak 13 cawangan kami akan ditutup pada 31 Disember 2021. 

 

“Pelanggan boleh terus menjalankan transaksi perbankan mereka menerusi cawangan terdekat, ATM, perbankan telefon atau platform perbankan digital kami seperti HSBC Malaysia Mobile Banking App atau HSBC Online Banking.

 

“Kami ingin menekankan komitmen berterusan terhadap perniagaan kami di Malaysia dan mentransformasikan masa hadapan perbankan,” jelas HSBC Malaysia seperti dilaporkan Bernama.

 

Bank yang telah bertapak di Malaysia sejak 1884 itu berkata, transformasi berkenaan melibatkan pelaburan dalam keupayaan digital di samping membawa perubahan kepada teknologi dan cawangannya untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

 

Ini termasuk pelaburan HSBC Malaysia sebanyak AS$250 juta bagi ibu pejabat Malaysia baharunya di hab kewangan TRX. 

 

Kumpulan itu juga memperuntukkan pelaburan sebanyak AS$40 juta bermula 2021 hingga 2023 untuk melengkapkan cawangan-cawangannya dengan aspek digital canggih dan teknologi baharu. 

 

Ini merupakan tambahan kepada AS$18 juta yang telah dilaburkan sejak 2018 hingga 2020 untuk membolehkan bank membangunkan format cawangan yang inovatif serta menerajui kaedah perkhidmatan buat pelanggan. - DagangNews.com