FOMC : Pelabur ambil pendekatan tunggu dan lihat | DagangNews Skip to main content

FOMC : Pelabur ambil pendekatan tunggu dan lihat

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati sementara menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) hari ini.

 

Indeks utama FBM KLCI menokok 1.01 mata atau 0.06% untuk ditutup kepada 1,624.97 dengan 12.67 bilion saham diniagakan bernilai RM4.77 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 625 berbanding 513 manakala 440 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit ditutup kepada RM4.1190/1240 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan semalam pada RM4.1120/1160.

 

Menurut Reuters, kebanyakan pasaran ekuiti dan kewangan diniagakan rendah terutama menantikan mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS. 

 

Para pelabur memerhati rapat sebarang isyarat kemungkinan kenaikan kadar faedah pada 2023 dan kenyataan berhubung kenaikan hasil bon.

 

Malacca Securities dalam nota kajian menjangkakan KLCI akan menunjukkan pergerakan sebaliknya dengan paras rintangan pada 1,630 hingga 1,640 mata manakala paras sokongan ditambat pada 1,590 hingga 1,600 mata. 

 

Menurutnya, pasaran saham AS merosot daripada paras tertinggi baru-baru ini berikutan Dow (-0.4%) mengakhiri kenaikan selama 7 hari berturut-turut susulan data jualan runcit yang rendah (-3.0% bulan ke bulan) dan pengeluaran pembuatan (-4.1 peratus bulan ke bulan) pada Februari 2021.

 

Di peringkat tempatan, firma itu yakin kes harian COVID-19 yang rendah akan terus memacu sentimen pasaran dalam persekitaran positif, bagaimanapun aliran meningkat dijangka dikekang oleh sentimen bercampur-campur Wall Street semalaman. - DagangNews.com