Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Feb. – foodpanda muncul sebagai peneraju penghantaran barangan runcit di Asia apabila mengumumkan pelancaran pandamart ke-150 dirantau itu.
Menerusi pencapaian itu, foodpanda kini mengendalikan rangkaian kedai runcit awan (cloud store) terbesar di Asia, yang memberi pengguna-pengguna akses mudah kepada lebih daripada 4,000 produk runcit dan barangan isi rumah.
Pengarah Serantau, Perniagaan Baharu di foodpanda, Abhishek Sahay berkata, melancarkan 150 pandamart di 40 bandar ketika pandemik COVID-19 yang sedang menular bukan satu tugas mudah.
"Tetapi foodpanda menyedari betapa pentingnya untuk membawa kepada pengguna kami, apa yang mereka benar-benar perlukan dengan cepat dan selamat, terutamanya pada waktu kawalan pergerakan.
"Memandangkan kini kami beroperasi di lapan pasaran, sasaran kami untuk tahun 2021 adalah untuk mengembangkan pandamart ke lebih banyak bandar-bandar di pasaran yang sudah kami sedia ada beroperasi, malah, melancarkan pandamart di kesemua 12 pasaran yang kami sedang beroperasi menjelang akhir tahun 2021,“ katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Menerusi kedai pertama yang dilancarkan di Singapura pada Oktober 2019, pandamart, telah dilancarkan di 40 bandar, merentasi lapan pasaran di rantau ini iaitu Singapura, Malaysia, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Bangladesh, Pakistan dan Filipina.
pandamart dibangunkan khas untuk penghantaran sahaja, tanpa kedai runcit di mana teknologi dan kecerdasan data menjadi asas bagi setiap kedai runcit awan itu.
Menurut foodpanda menerusi kenyataan sama, jumlah pelanggan yang kali pertama memesan barangan runcit melalui aplikasi itu di Asia meningkat lebih dua kali ganda antara separuh pertama dan kedua tahun 2020, dijangka terus berkembang pada tahun 2021.
foodpanda menyasarkan pasaran yang lebih baharu seperti Malaysia, Thailand, Bangladesh, Pakistan dan Filipina untuk mewujudkan pandamart kepada para pengguna di seluruh negara.
"Di Malaysia, pandamart menjadi perkhidmatan penting apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa awal tahun ini, dengan pesanan barang runcit meningkat hampir 70% pada bulan Januari 2021 sahaja.
"Menyedari kepentingan menyokong pengeluar makanan tempatan, pandamart bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan untuk mendapatkan lebih daripada 60% produk di Malaysia, menawarkan produk tempatan seperti sayur-sayuran dan minuman ringan kepada pengguna," tambah kenyataan itu. – DagangNews.com