Ford Ranger generasi baharu tawar rangkaian kuasa, lebih fungsi kepada pemilik | DagangNews Skip to main content

Ford Ranger generasi baharu tawar rangkaian kuasa, lebih fungsi kepada pemilik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Sept - Sama ada penjimatan minyak atau keterperincian yang menjadi keutamaan pelanggan, sistem janaan kuasa yang dipilih untuk Ford Ranger generasi baharu akan memberi kebolehan dan prestasi terbaik kepada pemiliknya, kata Pengurus Program Global Ranger dan Everest, Pritika Maharaj.

 

Ford Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Ranger generasi baharu akan terus menawarkan pilihan enjin turbo tunggal dan Bi-Turbo 2.0  diesel empat-silinder sebaris yang telah terbukti. 

 

Menurutnya, versi turbo tunggal menawarkan sebanyak 170 PS kuasa pada 3,500 rpm dan tork maksimum 405 Nm pada 1,750-2,500 rpm.

 

"Enjin 2.0 liter Bi-Turbo Ford yang telah terbukti pula menawarkan 210 PS pada 3,750 rpm dan tork 500 Nm pada 1,750-2,000 rpm; angka-angka janaan kuasa yang mengagumkan. Enjin berkenaan juga memiliki sistem pintasan pintar yang akan menentukan mod operasi paling optimum dalam satu-satu keadaan. 

 

"Ini bermakna, pengecas turbo boleh beroperasi secara bersiri (pada kelajuan enjin lebih rendah bagi meningkatkan tork dan memberi lebih maklum balas) atau turbo lebih kecil boleh dipintas untuk membolehkan pengecas turbo lebih besar menghasilkan kuasa yang lebih tinggi," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, penambahan 50 mm untuk jejak tapak dan jarak antara roda bagi Ranger generasi baharu ini telah meningkatkan lagi kestabilannya, di jalan raya mahupun ketika off-road. 

 

"Ia juga telah diberi penambahbaikan sudut menghampiri di depan kepada 30 darjah (daripada 28.5 darjah untuk model sebelumnya) dan sudut di belakang kepada 23 darjah (daripada 21 darjah bagi model sebelumnya). Sudut belakang ini juga tetap sama ketika palang tunda dipasang, hasil daripada kemaskini yang dilakukan itu.

 

 

ford

 

 

"Selain peningkatan jejak tapak yang membantu menambahkan lebar ruang belakang Ranger generasi baharu agar pelbagai barang boleh dibawa, penyerap hentak belakang juga dialihkan untuk sedikit ke arah luar gegelungnya, menjadikan pemanduan lebih terkawal sama ada ia penuh muatan atau tidak.

 

"Sama ada anda seorang tradisionalis atau pemandu yang inginkan lebih ketenangan di jalan raya, Ford menawarkan sistem pacuan empat roda untuk Ranger generasi baharu. Pacuan empat roda asas adalah sistem “separuh masa” dengan kotak pindah shift-on-the-fly elektronik dua-kelajuan dengan mod operasi 2H, 4H dan 4L," katanya.

 

 

ford

 

 

Katanya, Ranger generasi baharu ini kekal menawarkan differential lock belakang (untuk varian WildTrak dan XLT Plus), yang boleh diaktifkan menerusi skrin SYNC4A®. Differential lock membolehkan kedua-dua roda pada mana-mana gandar untuk berpusing dengan kelajuan sama, memberikan cengkaman tambahan ketika pemanduan off-road.

 

"Sebelum ini, hanya Ranger Raptor yang menawarkan pilihan mod pemanduan. Namun kini Ranger generasi baharu sudah dilengkapi dengan enam mod pemanduan, bergantung kepada varian. 

 

"Mod yang ditawarkan adalah: Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery untuk jalan raya serta Mud/Ruts dan Sand untuk off-road. Mod-mod ini mengubah segalanya, daripada penukaran gear kepada maklum balas pendikit, kawalan cengkaman dan kestabilan, ABS dan sebagainya," katanya. - DagangNews.com