Frontken dijangka catat prestasi lebih baik pada separuh kedua | DagangNews Skip to main content

Frontken dijangka catat prestasi lebih baik pada separuh kedua

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Frontken Corp Bhd. dijangka merekodkan prestasi separuh kedua yang kukuh berdasarkan pencapaian suku kedua berakhir 30 Jun 2021. 

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, kumpulan mencatatkan untung teras bersih tertinggi setakat ini pada suku berkenaan berjumlah RM26 juta menjadikan keseluruhan untung teras bersih pada separuh pertama sebanyak RM48 juta.

 

Ini secara tidak langsung memenuhi unjuran tahunan yang dibuat firma itu pada 47%.

 

"Kebiasaannya separuh kedua akan mencatat prestasi yang baik kepada Frontken. Kami juga yakin segmen minyak dan gas juga akan mencatat prestasi lebih baik tahun ini berbanding tahun lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Frontken dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.88. 

 

Frontken merupakan syarikat peneraju invoasi dan teknologi yang menyedia perkhidmatan sokongan kepada
industri semikonduktor, penyelesaian kejuruteraan mekanikal dan juga terbabit secara meluas dalam industri minyak dan gas, jana kuasa tenaga dan marin.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank Research berkata, untung teras bersih kumpulan pada suku kedua tu adalah sejajar dengan anggaran pendapatan teras separuh pertama merangkumi 45% daripada tahun kewangan 2021.

 

Malah, unjuran pendapatan bersih bagi tahun kewangan 2021 dan 2023 juga kekal utuh dengan sebahagian besar pertumbuhan dipacu segmen semikonduktor terutama di Taiwan. 

 

"Kami juga percaya pendapatan Frontken disokong oleh kitaran industri semikonduktor yang menyaksikan permintaan tinggi bagi cip terkini," katanya.

 

Ia mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Frontken dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.90. - DagangNews.com