Funding Societies, Chailease Berjaya Credit tawar pembiayaan kepada pengedar kereta terpakai berdaftar | DagangNews Skip to main content

Funding Societies, Chailease Berjaya Credit tawar pembiayaan kepada pengedar kereta terpakai berdaftar

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai - Funding Societies, platform kewangan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara, memeterai perjanjian dengan Chailease Berjaya Credit Sdn Bhd bagi menyediakan pembiayaan kepada 1,500 pengedar kereta terpakai (UCD) berdaftar.

 

Menerusi kerjasama itu, UCD yang layak boleh memohon pembiayaan untuk memudahkan pembelian stok lantai pengedar dan menawarkan rumusan nilai tambah sewa beli kepada pelanggan mereka.

 

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, kerjasama dengan Chailease Berjaya Credit membolehkan pihaknya mengembangkan portfolio UCD dan memberi perkhidmatan kepada pengedar yang layak, kurang mendapat perkhidmatan dalam rangkaian Chailease Berjaya Credit. 

 

"Kerjasama ini menyediakan saluran kredit yang boleh diakses pengedar ini untuk menyokong operasi mereka dan merebut prospek pertumbuhan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengarah Urusan Chailease Berjaya Credit Sdn Bhd, Ming-Tsung Chang pula berkata, PKS terus menghadapi cabaran yang ketara apabila mengakses kredit. 

 

Katanya, melalui kerjasama dengan Funding Societies, pihaknya berhasrat untuk menangani isu tersebut dengan meluaskan akses kredit kepada pengedar kereta bersaiz kecil dan sederhana. 

 

"Pengedar ini menghadapi permintaan pasaran yang sentiasa berubah, dan kami percaya bahawa dengan membolehkan mereka memperoleh inventori dan menawarkan pilihan pembiayaan pengguna, kami boleh menyumbang kepada ekosistem lebih kukuh dan meningkatkan aliran tunai untuk kedua-dua pengedar dan pelanggan mereka," katanya.

 

 

funding
                    Chai Kien Poon (kiri) dan Ming-Tsung Chang

 

 

Di bawah perkongsian pembiayaan, UCD berpeluang mendapatkan pembiayaan peniaga sehingga 85% daripada pembelian inventori kenderaan bermotor mereka. 

 

Tempoh pembiayaan berlangsung sehingga 90 hari dari tarikh pengeluaran, dan proses permohonan adalah mudah dengan UCD hanya perlu mengemukakan dua set dokumen, dokumen pengenalan diri (pengarah dan syarikat) dan penyata bank untuk memohon pembiayaan sehingga RM500,000. - DagangNews.com