FY21: Capex Malaysian Pacific Industries dijangka lebih RM300 juta | DagangNews Skip to main content

FY21: Capex Malaysian Pacific Industries dijangka lebih RM300 juta

Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Mac. - Syarikat pembuatan komponen elektrik dan semikonduktor, Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) dijangka akan mengekalkan tahap perbelanjaan modal (capex) melebihi RM300 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, peruntukan tersebut adalah untuk tujuan pengembangan proses syarikat.

 

"Kami menjangkakan kumpulan ini akan mengekalkan tahap capex melebihi RM300 juta pada FY21 (berbanding RM249 juta pada FY20) bagi pengembangan kapasiti dan peralatan pembungkusan canggih.

 

"Kumpulan itu membelanjakan kira-kira RM189 juta capex pada separuh pertama tahun kewangan 2021, meningkat 32% tahun ke tahun," jelas CGS-CIMB Research.

 

Segmen automotif, perindustrian dan komunikasi masing-masing mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 28%, 17% dan 6% pada suku kedua Jun 2021.

 

Segmen automotif menyumbang 33% kepada jualan kumpulan pada suku kedua tahun kewangan 2021 berbanding 29% pada suku sebelumnya.

 

Syarikat berkenaan mengaitkan pertumbuhan jualan automotif yang lebih tinggi disebabkan oleh pemulihan pasaran automotif global serta permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian elektrik.

 

Contohnya, perkhidmatan yang berkaitan 'sensor and silicon carbide' (SiC) menyumbang 2% hingga 3% daripada pendapatan kumpulan pada suku berkenaan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham MPI dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM42.

 

"Pendedahan kepada pelanggan semikonduktor di China, pembayaran kadar dividen yang lebih tinggi dan sumbangan lebih baik daripada segmen automotif dan industri menjadi potensi penilaian semula," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com