FY21: Prestasi kukuh jualan hartanah pacu prospek perolehan lebih baik SP Setia | DagangNews Skip to main content

FY21: Prestasi kukuh jualan hartanah pacu prospek perolehan lebih baik SP Setia

SP Setia Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pertumbuhan kukuh dalam aspek pembinaan dan jualan hartanah menjadi pamacu kepada prospek perolehan yang lebih baik syarikat pemaju hartanah, SP Setia Berhad (SP Setia).

 

MIDF Research berkata, menilai kepada prospek berkenaan, pihaknya mengakalkan saranan 'beli' saham SP Setia.

 

"Kami tidak membuat perubahan terhadap unjuran perolehan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022.

 

"Kami juga mengekalkan harga sasaran sesaham (TP) untuk SP Setia pada harga RM1.33, berdasarkan potongan 70% RNAV.

 

"Selain itu, kami melihat prospek perolehan yang lebih baik untuk tahun kewangan 2021 kerana pertumbuhan dalam aspek pembinaan dan jualan hartanah yang kukuh," jelas MIDF Research.

 

Bagi rekod, SP Setia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM150 juta bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2021.

 

Jualan hartanah turut menyaksikan prestasi kukuh sebanyak RM1.52 bilion pada suku kedua 2021, lebih tinggi berbanding RM1.19 bilion yang dicatatkan pada suku pertama tahun kewangan 2021.

 

Baca: Jualan lebih tinggi lonjakkan untung bersih 1HFY21 SP Setia kepada RM150 juta

 

Perkembangan tersebut sekali gus menjadikan jumlah penjualan baharu syarikatnya meningkat kepada RM2.71 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2021.

 

Sementara itu, pihak pengurusan syarikat juga mengekalkan sasaran jualan baharunya sebanyak RM3.8 bilion bagi tahun kewangan 2021 susulan momentum jualan yang lemah berikutan pelaksanaan 'lockdown' bermula Jun 2021.

 

Sementara itu, AmInvest Research memberitahu, SP Setia menawarkan pelancaran projek baharu bernilai RM2.5 bilion menjelang separuh kedua 2021 yang majoritinya terletak di Wilayah Tengah seperti Setia Alam Impian dan Setia Eco Hill 2.

 

Pelancaran tersebut turut disokong oleh kempen pemilikan rumah dan insentif kerajaan yang berterusan seperti pengecualian duti setem bagi hartanah di bawah RM1 juta serta diskaun harga pembelian 10%.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan perolehan FY21 hingga FY23 akan dipacu oleh jualan yang belum dibayar sebanyak RM10.3 bilion berbanding RM9.7 bilion tahun ke tahun.

 

"Kami percaya SP Setia berada di landasan yang bauk untuk mencipta pemulihan sektor hartanah pasca wabak," jelas AmInvest Research lagi. - DagangNews.com