FY21: Untung bersih Nestlé dijangka meningkat 20.7% | DagangNews Skip to main content

FY21: Untung bersih Nestlé dijangka meningkat 20.7%

Nestlé

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 April - Keuntungan bersih syarikat pengeluar makanan dan minuman, Nestlé (Malaysia) Berhad (Nestlé) dijangka melonjak sebanyak 20.7%  berbanding tahun sebelumnya bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan tersebut dinilai kepada dua faktor utama yang menjadi pertimbangan kepada prestasi kewangan syarikat berkenaan.

 

"Kami tidak membuat perubahan dalam anggaran perolehan sesaham (EPS) dan harga sasaran sesaham (TP) juga sama sebanyak RM136.70.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'pegang' saham Nestlé kerana kami yakin terhadap penilaian semasa kumpulan tersebut di samping perniagaan dan jenama yang kukuh di peringkat global.

 

"Kami menjangkakan syarikat ini akan meraih pertumbuhan untung bersih sebanyak 20.7% pada FY21 didorong oleh kos berkaitan COVID-19 yang lebih rendah dan peningkatan permintaan daripada segmen jualan Hotel, Restoren dan Cafe (HEROCA)," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam pengumuman kewangan bagi suku pertama tahun kewangan 2021 semalam, Nestlé mencatatkan keuntungan selepas cukai yang memberangsangkan sebanyak RM175.2 juta.

 

Pendapatan bagi suku berkenaan meningkat 1% kepada RM1.45 bilion berbanding suku sama tahun sebelumnya.

 

CGS-CIMB Research memberitahu, peningkatan pendapatan tersebut disumbangkan oleh jualan yang tinggi dalam F&B sekali gus mengimbangi jualan yang rendah dalam segmen HEROCA.

 

Margin sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi suku berkenaan bagaimanapun susut 1.8% mata disebabkan oleh kos bahan yang lebih tinggi, kerugian permulaan kilang baharu Plant Based Meals Solutions (PBMS).

 

Selain itu, ia turut didorong oleh perbelanjaan keseluruhan operasi yang tinggi termasuk RM22 juta berkaitan COVID-19.

 

Secara keseluruhannya, keuntungan bersih bagi suku pertama 2021 susut 6.5% kepada RM175.4 juta setelah mengambil kira perolehan RM0.3 juta daripada kerugian forex.

 

Sementara itu, MIDF Research memberitahu, pihaknya percaya permintaan produk Nestlé akan terus berdaya tahan seiring kekuatan jenamanya dan kepelbagaian produk semasa.

 

"Kami kekalkan saranan 'neutral' saham Nestlé dengan TP yang sama iaitu RM141.09," ujar MIDF Research. - DagangNews.com