Gagal adaptasi norma baharu, Pos Malaysia dijangka terus rugi - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Gagal adaptasi norma baharu, Pos Malaysia dijangka terus rugi - Penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pos Malaysia Bhd. dijangka terus berdepan kerugian yang lebih besar susulan prestasi kewangan separuh pertama 2021 yang kurang memberangsangkan.

 

Bagi tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2021, kerugian bersih Pos Malaysia melebar kepada RM168.63 juta daripada RM68.24 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu manakala hasil turun kepada RM1.13 bilion daripada RM1.16 bilion. 

 

Untuk suku kedua pula, kerugian bersihnya meningkat kepada RM121.84 juta daripada RM19.02 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya. Pendapatan jatuh kepada RM533.89 juta daripada RM606.08 juta sebelumnya.

 

AmInvestment Bank Research kini menjangkakan kerugian Pos Malaysia akan terus melebar kepada RM164.9 juta dan RM88.8 juta bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 berbanding anggaran sebelum ini iaitu RM101.5 juta dan RM41 juta.

 

Syarikat perkhidmatan kurier ini juga dijangka merekodkan untung bersih pada kadar yang kecil sebanyak RM3.6 juta pada tahun kewangan 2023 berbanding unjuran RM19.4 juta sebelum itu.

 

Malah, firma itu turut mengurangkan harga nilai saksama Pos Malaysia sebanyak 8% kepada 78 sen berbanding sebelum itu, 85 sen.

 

"Anggaran yang dibuat ini berbanding ramalan kami sebelum ini disebabkan prestasi buruk perkhidmatan pos disebabkan jumlah bungkusan dan surat yang semakin menurun. 

 

"Tambahan pula, kos strukturnya adalah tinggi walaupun beberapa langkah rasionalisasi kos dilaksanakan dan kami percaya adalah lebih baik mengambil kira kelemahan struktur ini dalam unjuran yang dibuat," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Pos Malaysia. 

 

Semalam Pos Malaysia berkata, prestasi lemah itu adalah disebabkan hasil rendah dalam segmen pos yang turun sebanyak sembilan peratus berikutan kemerosotan perkhidmatan pos disebabkan oleh pengurangan kuantiti surat dan kiriman bungkusan yang dikendalikan terutama daripada pelanggan kontrak.

 

Selain daripada hasil rendah, kerugian tinggi yang dicatatkan segmen pos adalah disebabkan rosot nilai hartanah, kilang dan peralatan serta kos tinggi penghantaran dan pengangkutan yang ditanggung.

 

Pada separuh pertama, perkhidmatan menerusi perkhidmatan pos merosot 9% tahun ke tahun disebabkan jumlah penghantaran surat dan bungkusan masing-masing menyusut 20% dan 17% tahun ke tahun. 

 

Baru-baru ini, Pos Malaysia melantik Charles Brewer sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan yang baharu, berkuat kuasa 1 Ogos 2021.

 

Mengenai pretasi segmen pengendalian bungkusan, AmInvestment berpendapat Pos Malaysia tidak memanfaatkan sepenuhnya pertumbuhan pesat dalam industri ini, sebaliknya, kehilangan penguasaan pasaran kepada pesaingnya.

 

"Kami terkejut dengan penurunan ketara bagi jumlah bungkusan yang dikendalikan Pos Malaysia. 

 

"Operasi syarikat juga bergelut dengan kenaikan jangkitan COVID-19, yang secara tidak langsung menunjukkan ia tidak mampu mengadaptasi operasi dalam norma baharu dengan baik," jelasnya. 

 

Firma itu juga bimbang dengan kos struktur Pos Malaysia yang tinggi dan ini menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana keberkesanan inisiatif rasionalisasi kos yang dilaksanakan syarikat ini.

 

"Namun, kami percaya Pos Malaysia tidak berada dalam kerugian selama-lamanya jika ia mampu bertindak terutama dengan melihat prospek cerah dalam segmen penghantaran bungkusan yang mana Pos Malaysia merupakan antara 3 pemain utama di Malaysia. 

 

"Ini akan disokong oleh perubahan trend pengguna membeli-belah dalam talian dan juga pembekuan lesen syarikat kurier baharu di Malaysia mulai September 2020 hingga 2022 bagi untuk memastikan segmen itu lebih berdaya saing," katanya. 

 

BACA : Kerugian bersih suku kedua Pos Malaysia meningkat kepada RM121 juta

 

Sementara itu, Kenanga Research menganggarkan kerugian bersih Pos Malaysia akan melebar kepada RM226.5 juta manakalan pendapatan bagi tahun kewangan 2022 pula diunjur pada RM62.2 juta. 

 

Firma itu menjangkakan sekatan pergerakan akan terus menjejaskan segmen perkhidmatan pos dan logistik dalam tempoh terdekat tetapi ia akan berakhir menjelang hujung Disember.

 

Oleh itu, ia mengekalkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan 2022 selepas pulih daripada pandemik COVID-19.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' bagi saham Pos Malaysia dengan harga sasaran tidak berubah pada 80 sen.

 

"Pos Malaysia tidak boleh menutup operasi pejabat pos manakala para pekerjanya mempunyai kesatuan, dan ini bermakna keuntungan dalam perkhidmatan pos adalah tetap.

 

"Pada masa sama, perniagaan kurier dijangka bertambah baik didorong permintaan terhadap e-dagang tetapi persekitaran pasaran akan terus mencabar disebabkan cabaran kos dan harga," katanya.

 

Setakat 10.02 pagi ini, saham Pos Malaysia susut 2.5 sen atau 3.09% kepada 78.5 sen dengan 1.16 juta saham diniagakan. - DagangNews.com