Gagasan Nadi Cergas menang kontrak RM97.4 juta bina kampus MRSM Dungun | DagangNews Skip to main content

Gagasan Nadi Cergas menang kontrak RM97.4 juta bina kampus MRSM Dungun

Gagasan Nadi Cergas

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac. - Syarikat pembinaan Gagasan Nadi Cergas Berhad (Gagasan Nadi Cergas) menerima Surat Anugerah bagi projek pembinaan turnkey (design-and-build) bernilai RM97.4 juta.

 

Projek berkenaan adalah untuk membina kampus MRSM di Dungun, Terengganu dengan keluasan 68 ekar.

 

Perolehan kontrak berkenaan secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan berkenaan dalam melaksanakan projek penting kerajaan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas Berhad, Wan Azman Wan Kamal berkata, pihaknya tetap komited dalam melaksanakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan standard infrastruktur akademik di negara ini.

 

"Satu lagi kemenangan kontrak dari JKR bagi pembinaan kampus pengajian tinggi awam adalah bukti rekod prestasi kami dalam menyelesaikan projek awam yang tepat pada waktunya selain kecekapan kami dalam membina kemudahan khas.

 

"Kontrak ini menunjukkan satu permulaan yang baik bagi Gagasan Nadi Cergas untuk kami keluar daripada tahun mencabar COVID-19 selain mengharapkan lebih banyak kontrak yang sesuai pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Syarikat berkenaan sebelum ini telah mengambil bahagian dalam beberapa projek penting kerajaan termasuk pembinaan Pusat Kardiologi bernilai RM290 juta yang sedang dibangunkan di Hospital Serdang, Selangor.

 

Memegang status sebagai kontraktor Gred G7, syarikat berkenaan juga merupakan salah sebuah syarikat daripada beberapa kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di bawah kod B29.

 

Perkara tersebut membolehkan syarikat berkenaan menjalankan pembinaan hospital dan kemudahan kesihatan. 

 

Bagi rekod kewangan pada suku ketiga yang berkakhir pada 30 September 2020, Gagasan Nadi Cergas mencatatkan nilai buku pesanan pembinaan dan pembangunan sebanyak RM1.2 bilion.

 

Ia termasuk projek rumah mampu milik di Shah Alam dan Serendah, Selangor serta pembangunan perumahan awam Putrajaya Homes di Putrajaya. - DagangNews.com