Gamuda, Castleforge Partners terima kelulusan rancangan pembangunan semula 75 London Wall | DagangNews Skip to main content

Gamuda, Castleforge Partners terima kelulusan rancangan pembangunan semula 75 London Wall

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - Gamuda Bhd menerusi Gamuda Land mengumumkan bahawa rancangan pembangunan semula bagi bangunan 75 London Wall yang terletak di London bersama pelabur hartanah yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Castleforge Partners telah diluluskan.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, 75 London Wall, yang sebelum ini dirujuk sebagai Winchester House dan dahulunya ibu pejabat Deutsche Bank di UK, dijangka dijadikan ruang pejabat.

 

Projek itu akan dilaksanakan Gamuda dan pelabur hartanah Castleforge yang pelannya dibangunkan arkitek Orms, akan menyaksikan kapasiti bangunan itu meningkat sebanyak 40% kepada 688,000 kaki persegi dan ia dijangka siap menjelang suku ketiga 2027.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata, pemberian persetujuan perancangan penuh menandakan satu langkah penting ke hadapan untuk 75 London Wall.

 

"Pembinaan kini boleh dimulakan, membolehkan Gamuda dan Castleforge merealisasikan visi untuk tapak tersebut, mengubahnya menjadi ruang pejabat premium yang mampan. Kelulusan ini menandakan peristiwa penting dalam pembangunan projek," katanya.

 

Projek itu akan mengekalkan 89% daripada fabrik binaan sedia ada, termasuk fasad sedia ada di tingkat bawah

 

Pejabat itu akan diubah suai sepenuhnya untuk menyediakan kecekapan tenaga, penginapan gred A+ yang menyasarkan BREEAM 'Outstanding', WELL Core 'Platinum' dan 'NABERS UK 5 Star Design for Performance'.

 

Ruang awam baharu, bernama Priors Garden, akan ditawarkan bagi mewujudkan ruang hijau untuk bangunan dan kawasan kejiranan. Terdapat juga laluan pejalan kaki yang dipertingkatkan yang menghubungkan ke Austin Friars Passage.

 

Rakan Pengasas Castleforge Partners, Michael Kovacs berkata, bagi membawa pekerja kembali ke pejabat, penghuni akan mencari ruang yang membezakan mereka daripada pesaing mereka. 

 

Beliau erkata, pihaknya tidak pernah menganggap kerja di pejabat telah 'mati' dan ia terbukti apabila orang ramai kembali ke Central London.

 

"Rancangan pengubahsuaian 75 London Wall akan mewujudkan ruang pejabat terbaik dan ia akan menetapkan standard baharu untuk kelestarian di ruang pejabat London serta kejayaan strategi ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) kepada penghuni," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Orms, Collin McColl berkata, 75 London Wall menetapkan titik rujukan baharu untuk naik taraf dan lanjutan bangunan ibu pejabat. 

 

"Ia merupakan projek yang diperlukan, sensitif terhadap konteks dan menghormati butiran sedia ada, sambil mengambil kesempatan daripada peluang untuk menambah baik tawaran bangunan, dalam dan luar," katanya.

 

Multiplex telah dipilih sebagai kontraktor pilihan utama dan telah dilantik di bawah Perjanjian Perkhidmatan Pra-Pembinaan. - DagangNews.com