KUALA LUMPUR 27 Okt - AmInvestment Bank Research menyemak naik nilai wajar Gamuda Bhd. kepada RM4.32 daripada RM3.42 sesaham dengan mengekalkan saranan 'pegang' terhadap syarikat pembinaan tersebut.
Menurutnya, Gamuda telah memperuntukkan dividen khas sebanyak RM1 bilion kepada pemegang sahamnya berikutan penjualan syarikat konsesi lebuh raya.
Ini mencerminkan bayaran 38 sen sesaham atau hasil dividen 10% yang menarik pada harga saham semasa.
"Kami menjangkakan dividen khas ini akan dibayar pada Januari 2023. Baki dana (sebanyak RM1.4 bilion) akan disalurkan kepada perniagaan terasnya.
"Selain itu, Gamuda juga mungkin menubuhkan bahagian pendapatan berulang baharu yang terlibat dalam infrastruktur hijau," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 13 Oktober lalu, Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) memuktamadkan pengambilalihan empat syarikat konsesi lebuh raya menerusi kejayaan terbitan Sukuk Murabahah Kemampanan penarafan AAA pada harga RM5.5 bilion nilai nominal.
Empat lebuh raya berkenaan ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Lebuhraya SPRINT), KESAS Sdn Bhd dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART).
Susulan itu, Gamuda menerima jumlah terkumpul sebanyak RM4.26 bilion daripada syarikat konsesi berkaitan berikutan pelupusan sekuriti dalam KESAS, SPRINT dan LITRAK (masing-masing sebanyak RM1.19 bilion, RM863 juta dan RM2.21 bilion).
AmInvestment berkata, nilai kontrak pembinaan Gamuda telah meningkat kepada RM14 bilion setakat Julai 2022 dan menyasarkan ia terus berkembang kepada RM25 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23).
Firma itu menjangkakan ia akan menambah nilai kontraknya sebanyak RM16 bilion pada FY23 manakala RM12 bilion bagi FY24 dan FY25 terutamanya menerusi projek di Australia seperti projek Suburban Rail Loop East dan North East Link.
"Di dalam negara pula, Gamuda mempunyai potensi untuk memperoleh kontrak CMC303 bagi projek MRT3, penambakan Penang South Island dan projek tebatan banjir.
"Selain itu, kumpulan turut menyasarkan prajualan hartanah sebanyak RM4.5 bilion pada FY23, didorong terutamanya projek pemulihan pantas di Ho Chi Minh City, Melbourne dan London," katanya.
Bagaimanapun, firma itu mengambil kira andaian yang lebih rendah sebanyak RM4 bilion untuk FY23 disebabkan oleh sentimen yang lemah akibat tekanan makroekonomi.
Setakat 11.00 pagi, harga sahamnya menokok 4 sen atau 1.04% kepada RM3.89 dengan 602,900 saham diniagakan. - DagangNews.com