KUALA LUMPUR 1 April - RHB Investment menganggarkan saiz kontrak segmen pertama Transit Aliran Ringan Pulau Pinang (LRT Pulau Pinang) yang bakal diraih Gamuda Bhd adalah antara RM8 bilion hingga RM10 bilion.
Katanya, anggaran itu masih berada dalam sasaran penambahan kerja sebanyak RM25 bilion bagi FY24 dan FY25 kumpulan itu.
Firma penyelidikan itu berkata, butiran nilai kontrak segmen pertama akan dimuktamadkan tertakluk kepada rundingan antara anak syarikat Gamuda, SRS Consortium Sdn Bhd dan MRT Corp yang merupakan pemaju projek dan pemilik aset dalam tempoh sehingga enam bulan sebelum kerja boleh dimulakan antara suku ketiga atau suku keempat tahun ini.
"Kami menjangkakan kos keseluruhan pembinaan segmen pertama adalah antara RM8 bilion hingga RM10 bilion dengan margin untung kasar antara 5% hingga 8%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda diberikan kontrak kerja awam bagi segmen pertama LRT Pulau Pinang
Kontrak untuk LRT Pulau Pinang terdiri daripada tiga segmen Pulau Silikon ke Komtar (segmen pertama), Komtar ke Penang Sentral (segmen kedua) dan kontrak pasang siap (turnkey) serta gerabak (segmen ketiga).
Gamuda menerusi SRS Consortium (SRS) telah diberikan kontrak untuk segmen pertama berdasarkan mekanisme permintaan untuk cadangan (RFP) berikutan permintaan Kerajaan Pulau Pinang, yang melantik SRS sebagai rakan kongsi penyampaian projek (PDP) Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang merangkumi LRT Pulau Pinang melalui tender terbuka pada Ogos 2015.
Firma penyelidikan itu berkata, Gamuda sangat berpengalaman dalam mengendalikan projek besar dan pihaknya tidak sebarang kebimbangan dalam pengurusan margin projek sekiranya segmen pertama berada di bawah asas turnkey.
Katanya, kontrak untuk ssegmen kedua dan ketiga LRT Pulau Pinang akan dilakukan melalui tender terbuka yang mana SRS Consortium masih boleh mengemukakan tawaran.
"Oleh itu, terdapat kemungkinan bahawa buku pesanan tertunggak Gamuda meningkat kepada RM24 bilion," katanya.
RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.30 sesaham.- DagangNews.com