Gangguan rantaian global jejas prestasi suku ketiga Hextar Global | DagangNews Skip to main content

Gangguan rantaian global jejas prestasi suku ketiga Hextar Global

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Nov - Keuntungan bersih Hextar Global Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 turun 42% kepada RM7.21 juta daripada RM12.47 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global yang menyebabkan kekurangan bahan mentah dan kenaikan harga merentasi industri. 

 

Pengarah Eksekutif Hextar Global Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, hasil suku tahunannya meningkat sedikit kepada RM112.55 juta daripada RM111.56 juta berbanding tahun sebelumnya. 

 

"Pada asas suku ke suku, keuntungan bersih kumpulan susut 3.21% daripada RM7.44 juta, manakala hasilnya meningkat 14.03% daripada RM98.7 juta.

 

"Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2021, keuntungan bersih kumpulan susut 23.09% kepada RM25.4 juta daripada RM33.03 juta setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh kos jualan dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi. 

 

"Hasilnya bagi tempoh itu, bagaimanapun, meningkat 2.91% kepada RM326.07 juta daripada RM316.85 juta," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Tambahnya,  beliau kekal optimistik mengenai prestasi kumpulan itu.

 

"Malaysia mencapai kemajuan yang baik dalam vaksinasi yang telah mengakibatkan pengurangan ketara dalam jumlah kes positif COVID-19 sejak Julai 2021 dan ekonomi perlahan-lahan pulih daripada sekatan yang dikenakan sebelum ini. 

 

“Permintaan untuk produk agrokimia telah meningkat tetapi penghantaran telah ditangguhkan kerana kesesakan dalam rantaian bekalan. 

 

Kami percaya keadaan akan pulih tidak lama lagi tetapi kami akan terus memantau isu rantaian bekalan global semasa dengan teliti kerana ia kekal sebagai penghalang kepada operasi perniagaan di seluruh dunia,” katanya.

 

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Hextar Global menjangkakan untuk meneruskan momentum pertumbuhannya dan kekal berdaya tahan, disokong oleh usaha pengurusan dan strategi serta inisiatif kumpulan. -DagangNews.com