Ganjaran tinggi untuk whistleblower wajar | DagangNews Skip to main content

Ganjaran tinggi untuk whistleblower wajar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jan - Ganjaran lebih tinggi bagi menggalakkan pemberi maklumat atau 'whistleblowers' untuk tampil melaporkan salah laku boleh berperanan kritikal bagi menghentikan amalan rasuah dan membanteras ketirisan ekonomi berbilion ringgit disebabkan perdagangan haram. 

 

Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah (ACFE) cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, ia susulan kontroversi terbaharu mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), termasuk pengumuman kerajaan akan menyemak semula akta tersebut dan bakal dibentangkan kepada kabinet.

 

"Saya difahamkan bahawa Kerajaan Malaysia menerusi agensi penguatkuasaan berkaitan telah meningkatkan pakej ganjaran kewangan untuk pemberi maklumat yang melaporkan salah laku yang berjaya menghasilkan tindakan penguatkuasaan.

 

“Jika ini betul, ia adalah langkah tepat dalam usaha membanteras rasuah dan mengekang dagangan haram seperti pasaran gelap rokok seludup yang telah mengakibatkan kerajaan kehilangan kira-kira RM5 bilion daripada segi hasil cukai tidak dipungut setiap tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Akhbar berkata, sindiket jenayah telah menyelinap ke dalam agensi penguatkuasaan undang-undang daripada segi menyebabkan mereka yang berperanan menghentikan dagangan haram telah membutakan mata terhadap pemasalahan itu. 

 

 

acfe
                                                     Datuk Seri Akhbar Satar

 

"Bagaimanapun, masih terdapat ramai pegawai penguatkuasa yang memiliki integriti, maruah dan rasa tanggungjawab. Mereka inilah yang menjadi pemberi maklumat mengenai rakan sekerja yang melanggar undang-undang bagi melindungi institusi penguatkuasaan mereka.

 

“Malangnya, pemberi maklumat berdepan dengan tindak balas yang serius, termasuk kemungkinan kehilangan mata pencarian. Di sinilah sistem ganjaran lumayan perlu ada, malah ganjaran lebih besar akan mendorong penjenayah itu sendiri menjadi pemberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan," katanya.

 

Beliau turut menegaskan ganjaran tinggi perlu disertakan dengan sistem perlindungan saksi yang terjamin bagi menjaga keselamatan pemberi maklumat. 

 

"Tiada maknanya ganjaran tinggi tetapi pemberi maklumat itu tidak hidup lama untuk menggunakannya," katanya. - DagangNews.com