GCAP meterai REPPA 21 tahun dengan TNB untuk 4 loji kuasa hidro kecil di Pahang | DagangNews Skip to main content

GCAP meterai REPPA 21 tahun dengan TNB untuk 4 loji kuasa hidro kecil di Pahang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai - G Capital Berhad (GCAP) melalui anak syarikatnya, Northern Star Hydropower Sdn Bhd (NS Hydropower) telah memeterai empat perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui (REPPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, GCAP berkata setiap REPPA itu adalah bagi tempoh 21 tahun dari tarikh operasi komersial, yang dijadualkan mula beroperasi pada 6 Disember 2027.

 

Perjanjian itu melibatkan empat loji kuasa hidro kecil di Pahang dengan kapasiti gabungan berjumlah 26 MW, di mana daripada jumlah ini, 12.5 MW adalah di Hulu Dong manakala baki 13.5 MW adalah di Batu Talam.

 

NS Hydropower telah dimandatkan sebagai pemegang kelulusan galakan (FiAH) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) untuk semua loji tersebut.

 

Di bawah REPPA, TNB akan membeli tenaga elektrik daripada NS Hydropower pada kadar tarif galakan sebanyak 23 sen setiap kilowatt-jam (kWj).

 

Pengarah Eksekutif GCAP, Datuk Yap Yee Ping menzahirkan keterujaan kumpulan untuk mengukuhkan komitmennya terhadap inovasi dan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dengan perjanjian itu.

 

“Potensi pendapatan diandaikan sebanyak RM688 juta dalam tempoh 21 tahun berdasarkan anggaran pengeluaran elektrik tahunan sebanyak 142.72 gigawatt-jam (GWj) daripada pelaburan dalam kos projek dianggarkan sebanyak RM300 juta,” ujar beliau.

 

 

Datuk Yap Yee Ping
Datuk Yap Yee Ping

 

 

Yee Ping turut memaklumkan bahawa GCAP sedang mendapatkan kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berhubung terbitan hak boleh ditolak bagi Stok Pinjaman Tidak Bercagar Boleh Tukar Boleh Tebus (RCULS) yang diumumkan pada 5 April 2023.

 

Jelasnya, hasil yang diperoleh akan digunakan untuk membiayai sebahagian pembangunan projek kuasa hidro kecil, terutamanya 2MW di Sungai Geroh, 10MW Sungai Salu dan 8MW di Sungai Temelong dan Sungai Ibul.

 

Beliau optimis kejayaan pelaksanaan pengumpulan dana itu dapat membantu mempercepatkan kemajuan ke arah masa depan yang lebih bersih dan mampan untuk semua rakyat Malaysia.

 

Pada pukul 3.48 petang hari ini, saham GCAP didagangkan pada 45 sen, naik 0.5 sen atau 1.1% dengan modal pasaran berjumlah RM145 juta. - DagangNews.com