IPOH 5 Ogos - Jualan minyak masak terpakai boleh menjadi sumber pendapatan sampingan dalam ekonomi kitaran di bandar raya ini apabila sebanyak RM651,000 dibayar pada tahun lalu.
Ia berdasarkan kutipan sebanyak 214.1 tan yang berjaya dikumpulkan daripada premis makanan dan pengguna domestik.
Ketua Pembangunan Perniagaan Green Energy Asia (GEA), Muhammad Aswad Abdul Rashid berkata, nilai tersebut dijangka meningkat tahun ini berdasarkan kempen dan aktiviti kutipan yang dilakukan.
Menurut beliau, ini menerusi kerjasama yang dilakukan termasuklah GEA menjadi rakan strategik kepada Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Daerah Kampar.
“Semasa syarikat mula beroperasi 2 tahun lalu kita mengutip 30.3 tan minyak masak terpakai manakala belian RM96,765.
“Sehingga Julai tahun ini pula jumlah kutipan keseluruhan sebanyak 254.7 tan dan kita jangka dapat mencapai 300 tan sehingga hujung tahun.
“Pada tahun ini sahaja sebanyak RM778,196 telah dibelanjakan untuk membeli minyak masak terpakai daripada penduduk dan pengusaha perniagaan.
“Secara purata kami membelanjakan RM100,000 hingga RM150,000 untuk belian dan angka ini akan terus ditambah dengan meningkatnya kesedaran awam mengenai pelupusan minyak masak terpakai,” ujarnya kepada Dagang News.
GEA merupakan syarikat yang mengutip dan membeli minyak masak terpakai berlesen dan bersijil dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan International Sustainability & Carbon Certification (ISCC).
Minyak masak terpakai yang dikutip akan diproses untuk dijadikan sebagai bahan mentah bagi penghasilan biodiesel dan ‘sustainable aviation fuel’ (SAF).
Syarikat yang beroperasi di Kledang dekat sini juga giat menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan minyak masak terpakai tidak mencemarkan alam sekitar.
Jelas Muhammad Aswad, buat masa ini, syarikat tidak memperoleh sebarang keuntungan yang signifikan.
Katanya, GEA beroperasi dalam titik pulang modal yang mana hasil keuntungan lebihan digunakan semula untuk projek CSR atau kempen kesedaran awam berkenaan pelupusan minyak masak terpakai.
“Ketika ini kesedaran masyarakat semakin meningkat berkenaan pentingnya melupuskan minyak masak terpakai secara beretika melalui syarikat yang berlesen dan bersijil.
“Hasil usaha pasukan kami mengunjungi premis untuk memberi kesedaran dan juga bantuan daripada pihak pihak berkuasa tempatan juga memberi impak positif,” ujarnya. - DagangNews.com