Genap 100 hari, rakyat Malaysia terima lebih 3.2 juta dos vaksin | DagangNews Skip to main content

Genap 100 hari, rakyat Malaysia terima lebih 3.2 juta dos vaksin

Vaksinasi Malaysia. Gambar ihsan Facebook JKJAV.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Genap 100 hari pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan semalam,  rakyat Malaysia telah menerima lebih 3.2 juta dos vaksin secara keseluruhannya.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memuat naik data semasa vaksinasi negara memberitahu,  jumlah berkenaan meliputi individu yang menerima vaksin bagi dos pertama dan kedua.

 

"Seramai 117,563 individu telah menerima vaksin pada 3 Jun 2021 dimana 109,827 daripadanya menerima dos pertama.
 

 

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang telah menerima vaksin di negara ini melebihi 3.3 juta orang," jelas KKM berdasarkan kepada data yang diterbitkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan pada 24 Februari 2021 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Selepas menyempurnakan pelancaran berkenaan, beliau turut menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

 

Sehingga 3 Jun 2021, seramai 2.2 juta individu telah berjaya mendapatkan vaksin bagi dos pertama.

 

.

 

Sementara itu, 1.1 juta individu berjaya melengkapkan suntikan kedua sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di negara ini seramai 3.3 juta orang.

 

Selangor muncul sebagai negeri yang mencatatkan bilangan suntikan dos kedua yang paling tinggi iaitu seramai 145,636, diikuti Sarawak seramai 116,399.

 

Selain itu, Perak dan Kuala Lumpur juga tergolong dalam empat negeri yang mencatatkan bilangan suntikan dos kedua melebihi 100,000 iaitu 105,302 dan 101,249 individu. - DagangNews.com