Genting Plantations raih untung bersih RM85.1 juta suku kedua 2024, isytihar dividen 8 sen | DagangNews Skip to main content

Genting Plantations raih untung bersih RM85.1 juta suku kedua 2024, isytihar dividen 8 sen

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Genting Plantations Berhad meraih untung bersih sebanyak RM85.11 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), meningkat 19.9% berbanding setahun lalu yang berjumlah RM70.9 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Genting Plantations berkata, pendapatannya bagi suku tahun berakhir 30 Jun itu bagaimanapun menyusut kepada RM757.16 juta daripada RM805.9 juta pada 2QFY24.

 

Sementara itu, dalam kenyataan medianya, kumpulan perladangan itu berkata, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 8.0 sen setiap saham biasa. 

 

"Sebagai perbandingan, dividen interim satu peringkat yang diisytiharkan untuk tempoh yang sama pada tahun 2023 adalah sebanyak 8.0 sen setiap saham biasa," katanya hari ini.

 

Menurut Genting Plantations, pengeluaran tandan buah segar (BTS) Kumpulan pada 2Q 2024 dan 1H 2024 adalah sedikit lebih rendah tahun ke tahun, terutamanya disebabkan oleh hujan lebat dan corak hasil yang rendah. 

 

Selain itu, kata Kumpulan tersebut, program penanaman semula yang sedang berlangsung di Malaysia telah menyebabkan pengurangan dalam kawasan penuaian.

 

"EBITDA untuk segmen Perladangan bagi 2Q 2024 dan 1H 2024 meningkat tahun ke tahun berikutan kenaikan harga produk kelapa sawit, yang lebih daripada mengimbangi pengeluaran FFB yang lebih rendah," jelasnya.

 

Menurut Genting Plantations, prospek Kumpulan untuk baki tahun ini akan mengikuti prestasi segmen Perladangan yang bergantung terutamanya pada pergerakan harga produk kelapa sawit dan pengeluaran BTS. 

 

"Memasuki suku ketiga 2024, harga minyak sawit sedikit merosot disebabkan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS. 

 

"Walau bagaimanapun, harga minyak sawit dijangka kekal disokong dalam tempoh terdekat dengan jangkaan bekalan minyak sawit global yang terbatas, berikutan prospek pengeluaran yang lebih lemah.

 

"Kecuali berlaku cuaca luar biasa, Kumpulan menjangka pengeluaran BTS untuk separuh kedua 2024 (2H24) akan lebih tinggi, menunjukkan peningkatan berbanding 1H24. Walaupun pemulihan hasil tanaman pada 2H24, pengeluaran untuk tahun penuh 2024 dijangka setara atau sedikit lebih rendah tahun ke tahun," ujarnya.- DagangNews.com