Genting Skyworlds dijangka dibuka awal bulan depan | DagangNews Skip to main content

Genting Skyworlds dijangka dibuka awal bulan depan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Taman Tema Genting Skyworlds dijangka dibuka awal bulan depan sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjadi tahun cemerlang untuk Resorts World Genting.

 

Menurut Maybank Investment Bank dalam nota kajiannya, perbualan dengan sumber mendedahkan bahawa jumlah pelawat Resorts World Genting pada suku keempat 2021 adalah kukuh meskipun pembukaan Genting SkyWorlds sekali lagi tertangguh.

 

"Sebelum ini, kami menjangkakan Genting Skyworlds akan dibuka pada 10 Disember 2021, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

 

"Sumber memberitahu kami bahawa Genting Malaysia sedang 'memperhalusi' beberapa isu berkaitan perisian dan berharap untuk membuka Genting Skyworlds pada Tahun Baru Cina yang jatuh pada 1 Februari 2022," katanya.

 

Bank pelaburan itu berkata, ia difahamkan bahawa jumlah pelawat Resorts World Genting pada suku terakhir tahun lalu adalah mantap, malah setanding dengan suku kedua 2020, iaitu setinggi empat juta orang.

genting

"Didorong kadar vaksinasi yang tinggi, bilangan kes dan kematian baharu COVID-19 di Malaysia sudah berkurangan.

 

"Golongan yang skeptikal mungkin mengatakan bahawa (pengurangan kes dan kematian baharu) disebabkan oleh banjir yang berlaku di Lembah Klang, namun kadar ujian yang tinggi menafikan kebimbangan ini," katanya.

 

Indeks Peruncitan dan Rekreasi Google Mobility, yang mengukur minat pengguna terhadap sektor peruncitan dan rekreasi menunjukkan rakyat Malaysia semakin selesa bergerak di luar rumah, sekali gus memberikan petunjuk yang positif terhadap Resorts World Genting.

genting

Sementara itu, Google Trends yang mengukur minat carian mengikut terma tertentu turut menunjukkan bahawa Resorts World Genting 'berada dalam pemikiran' ramai rakyat Malaysia semasa bercuti.

 

"Jika varian Omicron dapat dibendung, Tahun Baru Cina yang akan datang membawa tuah untuk Resorts World Genting," katanya.

 

Maybank Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Genting Malaysia Bhd., dengan sasaran harga yang sedikit rendah iaitu RM3.38 berbanding RM3.40 sebelum ini.

 

"Kami terus menggemari saham Genting Malaysia sebagai kaunter pemulihan yang cair," katanya. - DagangNews.com