Gerakan koperasi perlu adaptasi teknologi, perkukuh daya saing - ANGKASA | DagangNews Skip to main content

Gerakan koperasi perlu adaptasi teknologi, perkukuh daya saing - ANGKASA

Abdul Fattah Abdullah
Abdul Fattah Abdullah 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangenews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Gerakan koperasi perlu  mengadaptasi penggunaan teknologi bagi menjamin sektor berkenaan kekal berdaya saing dan memberi perkhidmatan terbaik kepada anggota khususnya pada waktu mencabar ini. 

 

Saranan tersebut disuarakan Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Negeri (MAN) peringkat negeri Perak yang diadakan secara dalam talian dan disertai seramai 427 orang perwakilan.

 

Katanya, pandemik sebenarnya turut membawa hikmah kepada gerakan koperasi kerana membuka peluang kepada warga koperasi terlibat dalam perniagaan secara dalam talian bagi menawarkan produk dan perkhidmatan dengan cara yang lebih berkesan selain meningkatkan capaian pelanggan.

 

"Inilah masanya gerakan koperasi menjadi warga digital untuk bergerak terus ke hadapan dan keluar dari cara kerja tradisional serta meningkatkan kehadiran sektor ini dalam dunia keusahawanan. 

 

"Urusan yang dijalankan secara digital juga adalah lebih telus, cepat dan dapat mengurangkan kesilapan manusia," katanya.

 

Dalam usaha memperkukuh kedudukan dalam dunia digital, ANGKASA melalui syarikat bersekutunya MyANGKASA Digital Services (MDS) telah membuat permohonan mendapatkan lesen bank digital Islamik dari Bank Negara Malaysia melalui kerjasama dengan rakan strategik Boustead Holdings Berhad. 

 

Usaha berkenaan mendapat sokongan penuh dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 

 

Melalui usaha itu katanya, ANGKASA akan menawarkan produk perbankan secara pengalaman digital sepenuhnya kepada para pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan berinovatif sesuai dengan gaya hidup dan keperluan.

 

Bank digital itu juga berpegang pada prinsip perbankan Syariah, namun dengan cara yang lebih memudahkan seiring penggunaan dan kemudahan teknologi yang wujud pada ketika ini.

 

"MDS akan memberi tumpuan kepada segmen pasaran B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya dalam gerakan koperasi, untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

 

"Sekiranya diluluskan, gerakan koperasi juga akan menerima impak positif memandangkan kedudukan ANGKASA akan lebih diperkukuh dan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam transformasi dan pembangunan gerakan ini sebagai institusi pengagihan ekonomi yang adil kepada seluruh rakyat Malaysia," ujar beliau.

 

Dalam kenyataan sama, beliau memberitahu, ANGKASA berusaha merapatkan jurang digital antara warga koperasi kerana tidak mahu sektor berkenaan ketinggalan dan kehilangan peluang dalam era digital.

 

Antara inisiatif yang diambil ANGKASA adalah melalui Projek Barang Asas 100 (BA100) iaitu projek peruncitan digital di mana segala urusan tempahan dan pembelian dari pengguna ke koperasi atau koperasi kepada pembekal dilakukan secara dalam talian 
melalui laman web JimatShop dan JimatBiz. 

 

Perkhidmatan digital yang ditawarkan oleh ANGKASA termasuk Sistem Pelaporan Kredit ANGKASA & EXPERIAN (SPeKAR), Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA), perkhidmatan permohonan pembiayaan koperasi secara dalam talian melalui portal MyAzzahra dan Sistem Undi Digital ANGKASA. - DagangNews.com