GK Aqua perkasa golongan B40, sasar jadikan Malaysia pengeksport utama udang air tawar | DagangNews Skip to main content

GK Aqua perkasa golongan B40, sasar jadikan Malaysia pengeksport utama udang air tawar

Ibrahim Noor Rashid
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Syarikat bioteknologi Malaysia, GK Aqua Sdn Bhd (GK Aqua) melancarkan program Usahawan Akuakultur Udang Galah Malaysia (MUGA), sebagai inisiatif untuk meningkatkan pendapatan masyarakat B40 dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama udang air tawar berkualiti tinggi.

 

MUGA juga akan memperkasakan usahawan akuakultur  yang dipilih dalam kalangan masyarakat B40 dengan melatih mereka menyertai komuniti penternakan secara berkelompok GK Aqua, satu model perniagaan berskala mudah yang menjamin potensi pendapatan peserta sehingga RM6,000 sebulan. 

 

Jaminan tersebut mampu diberikan kerana wujudnya kerjasama pemasaran melalui pembelian hasil tuaian antara GK Aqua dan syarikat-syarikat pembeli utama dari seluruh dunia.


 
Sebagai sebahagian daripada model perniagaan, GK Aqua akan membekalkan usahawan-usahawan akuakultur dengan anak benih dan makanan untuk memulakan projek ternakan udang, selain membimbing mereka secara mendalam melalui latihan dan pendidikan mengenai teknologi penternakan, khidmat nasihat serta penyeliaan teknikal. 

 

Peserta program akan menerima 3 kolam ternakan bersaiz 0.3 hektar setiap satu, gaji bulanan serta susun atur kolam dan teknologi pengesahan aplikasi. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GK Aqua, Giva Kuppusamy berkata, MUGA akan mengumpulkan pakar-pakar industri yang berbeza daripada sektor awam dan swasta untuk membantu mewujudkan ekosistem yang berkembang maju dan seterusnya mampu membantu meletakkan Malaysia di peta pengeluar utama udang air tawar yang mampan.

 

“Ia akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan masyarakat B40 dan pada masa sama menjana kekayaan ekonomi baharu untuk negara melalui eksport udang air tawar. Kami berharap agar lebih ramai rakan kongsi akan tertarik dan menyertai kami bagi membantu merealisasikan program ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

aqua
Giva Kuppusamy

 

 

GK Aqua turut menyasarkan untuk melahirkan 500 usahawan akuakultur dalam tempoh 3 tahun akan datang dan sehingga kini, GK Aqua telah mendaftarkan 40 petani untuk menyertai program MUGA. 

 

Pembangunan ladang GK Aqua seluas 50 ekar di Taiping, Perak dan ladang seluas 50 ekar di Johor, yang kedua-duanya akan digunakan dalam program ladang berkelompok MUGA sedang berjalan, di samping 300 ekar lagi tanah di Pahang dijangka akan dibuka selepas urusannya diselesaikan sebelum akhir tahun. 

 

Semua ladang GK Aqua dibina di atas tanah, kolam dan infrastruktur yang tidak digunakan atau berproduktif rendah sebelum ini untuk memastikan aspek kemampanannya.

 

 

aqua

 

 

Seorang peserta, Ibrahim Noor Rashid berkata, ramai usahawan akuakultur menjadi lebih bersemangat untuk mengusahakan ternakan udang air tawar ini kerana GK Aqua telah menyediakan segala aspek yang diperlukan untuk memulakan projek. 

 

"Kebiasaannya apabila dengan memulakan usaha sebagai penternak udang air tawar, kita akan terbeban dengan memikirkan kos pendahuluan yang tinggi untuk mendapatkan tanah, peralatan, makanan dan anak benih. Keadaan ini akan menjadi penghalang kepada kita untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini. 

 

"Tetapi ini semua telah dipermudahkan oleh GK Aqua. Kami amat berterima kasih kepada MUGA kerana ia memberikan kami kestabilan kewangan dan cara untuk menyara keluarga,” katanya. - DagangNews.com