GLIC, GLC sumbang RM50.8 juta bagi bantu usaha tangani banjir - PM | DagangNews Skip to main content

GLIC, GLC sumbang RM50.8 juta bagi bantu usaha tangani banjir - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Dis - Kerajaan mengumumkan bahawa Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bersetuju menyumbang sebanyak RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah sumbangan itu adalah peningkatan 100% berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan semalam. 

 

Beliau berkata, GLIC dan GLC yang telah menyumbang ini termasuklah Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

 

"Dengan geran kerajaan sebanyak RM25 juta, ini bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca-banjir adalah RM75.8 juta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk aktiviti pemulihan pasca banjir bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak. 

 

Beliau berkata, Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sama ada yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak.

 

Kerajaan juga katanya, memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir melalui TEKUN Nasional selain koperasi yang terjejas juga akan dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000
 

"Bagi membantu usahawan pula, pembiayaan kewangan diberikan sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN). Pembiayaan ini adalah tanpa faedah dengan tempoh bayaran yang bermula hanya selepas enam bulan perjanjian pembiayaan ditandatangani.

 

"Sementara itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan dua bulan pengecualian sewa (rental waiver) kepada penyewa SME Bank's Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir. 

 

"Kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir," katanya.

 

Sementara itu, Perdana Menteri juga sudah mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menggerakkan segera 20 aset pam mudah alih ke kawasan  terjejas iaitu tambahan kepada empat pam sedia ada. 

 

Beliau berkata, ia bertujuan mengepam air dari kawasan yang mengalami banjir genang (yang biasa dikenali sebagai banjir termenung) ke sungai yang berhampiran.

 

Beliau berkata, pam tambahan yang diperoleh daripada pelbagai agensi termasuk yang dimiliki oleh JPS Selangor akan digunakan untuk mengalirkan air genang ke Sungai Kelang.

 

"Sementara itu, saya juga bersetuju dengan cadangan supaya beberapa bahagian benteng sungai dipecahkan atau ditebuk buat sementara untuk mengalirkan air genang segera keluar ke sungai. Lokasi penebukan sedang dimuktamadkan.

 

Dalam pada itu, Mesyuarat membuat keputusan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan pengarahan kepada semua pihak berhubung tindakan-tindakan yang perlu dilakukan dengan segera.
 

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan tetap menjadi sekretariat utama pengurusan bencana dan mengendalikan semua penyelarasan dan sekiranya sesuatu tindakan itu tidak dipatuhi maka MKN akan mengeluarkan arahan lanjut. - DagangNews.com