Global Reskilling Movement tawar pendidikan percuma perkukuh kemahiran pekerja | DagangNews Skip to main content

Global Reskilling Movement tawar pendidikan percuma perkukuh kemahiran pekerja

Majlis pelancaran Global Reskilling Movement yang dirasmikan oleh (dari kiri) Aimi Salma; Jin Tan; Duta-duta GRM iaitu Datuk Dr Hamid Arshat dan Datin Dayang Nurfazrina Jamaluddin; Datuk Azhar Muhammad; Duta-duta GRM, Datuk Othman Desa dan Abdul Hanif Harun; GRM Initiator, Ken Lim.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 April 2023 - Global ReSkilling Movement (GRM) menawarkan peluang pendidikan berkualiti dan percuma bagi membantu individu di seluruh dunia dari segi peningkatan kemahiran (upskill) dan latihan kemahiran semula (reskill).

 

Misi GRM adalah melengkapkan 100 juta individu di seluruh dunia dengan pendidikan berkualiti, membantu mereka menyerlahkan potensi sebenar dan mengubah kehidupan mereka untuk masa hadapan yang lebih baik.

 

Dengan menyediakan sokongan ‘reskilling’ dan ‘upskilling’, GRM akan berusaha mewujudkan laluan global mantap ke arah pertumbuhan ekonomi mampan dan masa hadapan lebih baik, dengan individu yang menerima sokongan ini adalah 10 kali kurang kemungkinan untuk berhenti kerja dan dapat berkembang maju dalam kerjaya mereka.

 

 

Foto berkumpulan semua tetamu yang menghadiri pelancaran rasmi dan sidang akhbar Pergerakan Kemahiran Semula Global di ReSkills Hub
Semua tetamu yang menghadiri pelancaran rasmi dan sidang akhbar GRM di ReSkills Hub

 

 

Ketua Global Initiator GRM, Jin Tan berkata Institut McKinsey Global menganggarkan seramai 375 juta pekerja terpaksa bertukar pekerjaan atau memperoleh kemahiran baharu menjelang 2030 disebabkan kecerdasan buatan dan automasi.

 

Beliau menambah bahawa penyelidikan daripada Forum Ekonomi Dunia turut mencadangkan bahawa sekiranya kadar semasa ‘upskilling’ tenaga kerja tidak meningkat, kemungkinan ia akan mengambil masa beberapa dekad bagi golongan bakal pekerja bersedia untuk masa depan pekerjaan.

 

“Keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dan persekitaran kerja menjadi semakin penting apabila kadar perubahan kian pantas dan merupakan komponen penting untuk kekal berdaya saing dalam pasaran kerja yang berkembang pesat hari ini dan faktor penting kejayaan kerjaya jangka panjang,” katanya.

 

 

Jin Tan
Jin Tan

 

 

GRM berharap untuk menambah baik landskap pekerjaan global dengan bantuan penaja di seluruh dunia, di mana sumbangan AS$12 setahun daripada setiap penaja akan ditukar kepada akaun pembelajaran digital yang memberi tumpuan kepada kerjaya dan pendidikan kemahiran teknikal, diagihkan kepada individu untuk memperbaiki kehidupan mereka. 

 

“Menguasai bidang kemahiran seperti celik digital, pemikiran kritis, komunikasi silang budaya, kebolehan menyesuaikan diri dan pemikiran keusahawanan, sememangnya perlu bagi mana-mana individu yang menyasarkan kejayaan dalam pasaran global. Misi GRM adalah untuk memastikan bahawa proses pembangunan diri adalah mudah dan jelas untuk semua orang,” kata Pengerusi GRM, Datuk Azhar Muhammad.

 

Pengerusi Penganjur GRM Aimi Salma berkata, landskap pekerjaan hari ini yang semakin kompetitif bermakna pekerja tidak boleh hanya bergantung kepada pengetahuan teknikal untuk berkembang maju dalam kerjaya mereka.

 

“Kecekapan teknikal sememangnya penting, namun tidak mencukupi bagi individu berkembang maju dalam kerjaya mereka. Tempat kerja pula sentiasa berubah dan individu harus berupaya untuk mempelajari kemahiran baharu apabila diperlukan,” katanya. 

 

GRM terbentuk berasaskan tiga tonggak iaitu pendidikan berkualiti, pembelajaran yang boleh dicapai serta menambah pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

 

“Hanya dengan secebis harapan, masyarakat boleh mengubah kehidupan dan melabur untuk masa hadapan kita agar mampu bersama-sama mewujudkan masyarakat yang lebih berkemahiran dan makmur untuk semua,” kata Tan. -DagangNews.com