Globaltec Formation di peringkat akhir muktamadkan lokasi telaga, pengambilan tanah untuk perkongsian pengeluaran di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Globaltec Formation di peringkat akhir muktamadkan lokasi telaga, pengambilan tanah untuk perkongsian pengeluaran di Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Globaltec Formation Berhad menerusi anak syarikatnya, NuEnergy Gas Ltd telah memuktamadkan lokasi semua tapak telaga yang dicadangkan dan sedang dalam peringkat akhir pengambilan tanah untuk kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Tanjung Enim, Sumatera Selatan, Indonesia.

 

NuEnergy, yang disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia, berkata wakil syarikat itu dan pasukan petugas khas Indonesia untuk aktiviti perniagaan huluan minyak dan gas, SKK Migas, telah mengadakan lawatan tapak dan menyertai proses sosialisasi dengan masyarakat setempat pada 6 Jun lalu.

 

"NuEnergy telah memulakan proses pemerolehan item jangka masa panjang kepada vendor, dan juga melantik beberapa syarikat perkhidmatan yang diperlukan untuk program jualan gas awal," tulis syarikat itu dalam laporan suku tahunan Jun 2023 yang dikeluarkan kepada Bursa Malaysia, hari ini..

 

NuEnergy merupakan syarikat penjanaan gas dan tenaga sampingan yang aktiviti utamanya ialah penerokaan dan pembangunan gas bukan konvensional di Indonesia.

 

Pada 10 Februari 2023, Dart Energy (Tanjung Enim) Pte Ltd — anak syarikat milik penuh NuEnergy — memeterai Perjanjian Utama (HOA) dengan PT Laras Ngarso Gede (Laras Energy), sebuah gas asli hiliran dan pembekal produk terbitannya, untuk pembekalan dan penjualan metana dasar arang batu di PSC Tanjung Enim.

 

HOA berkuat kuasa sehingga tarikh perjanjian jual beli gas dilaksanakan, atau sehingga 9 Ogos 2023.

 

Dalam laporan suku tahunan itu, NuEnergy berkata, ia telah melengkapkan dan mengemukakan permohonan kajian kesan alam sekitar yang diperlukan seperti yang diperlukan dan kini menunggu kelulusan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia.

 

“Semua dokumentasi yang diperlukan, termasuk jaminan prestasi daripada Laras Energy, telah pun dikemukakan dan kini menunggu perakuan SKK Migas untuk kelulusan peruntukan dan harga gas kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (MEMR). 

 

"Pada masa yang sama NuEnergy sedang mengusahakan draf perjanjian penjualan gas dengan Laras Energy,” katanya.

 

Selain itu, NuEnergy telah mendapat kelulusan untuk satu lagi masa penerokaan tambahan di medan gas Muralim.

 

“Disebabkan pengeluaran air yang tinggi menyebabkan kelewatan dalam penyiapan proses penyahairan, NuEnergy telah mengadakan perbincangan dengan SKK Migas untuk melanjutkan tempoh penerokaan melebihi tarikh akhir 18 Julai. 

 

"SKK Migas telah bersetuju dan telah membuat cadangan kepada MEMR untuk melanjutkan tempoh penerokaan selama 19 bulan,” katanya. - DagangNews.com