Gambar Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Langkah untuk memperkenalkan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memberi peluang untuk kerajaan melebarkan asas hasil negara.
Ini terutamanya apabila semua negara termasuk Malaysia telah membuat perbelanjaan besar bagi membendung penularan COVID-19 selain mempunyai pilihan yang kecil untuk mengembangkan asas cukai.
Menurut Pengarah Eksekutif Cukai Tidak Langsung, Deloitte Malaysia, Senthuran Elalingam menekankan Malaysia yang mempunyai asas cukai agak kecil perlu melihat semula struktur sistem cukai untuk jangka masa panjang.
“Seperti mana dicadangkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), semakan semula yang lebih luas ke atas sistem percukaian Malaysia diperlukan bagi menangani ketidakseimbangan fiskal akibat pandemik.
“Kesemua pilihan sepatutnya sudah ada dan dinilai dengan teliti, dan GST seperti yang dijangkakan, perlu diselitkan dalam rundingan tersebut.
“Bagi jangka masa sederhana dan panjang, langkah untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan GST adalah masuk akal, dari perspektif dasar percukaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, OECD telah mencadangkan agar Malaysia memperkenalkan semula GST sebagai sebahagian daripada strategi fiskal jangka sederhana.
Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed turut mendedahkan bahawa cadangan itu harus dipertimbangkan oleh pembuat dasar apabila tiba masanya.
Elalingam menegaskan bahawa terdapat beberapa cabaran besar terhadap usaha untuk melebarkan asas peringkat cukai tunggal seperti SST.
Katanya, usaha untuk melebarkan skop cukai itu telah mendatangkan banyak implikasi yang tidak diingini seperti beberapa lapisan cukai perlu dibayar dan menyebabkan kekeliruan.
Beliau menekankan bahawa sebarang keputusan untuk meluaskan asas SST perlu dipertimbangkan dengan berhati-hati.
“Memperkenalkan semula GST akan menyingkirkan semua cabaran semasa yang dihadapi akibat SST dan akan memberi kerajaan lebih banyak skop untuk meluaskan asas cukai itu,” katanya lagi. - DagangNews.com