GTR Burger meterai MoU taja FAS untuk pembangunan bola sepak Selangor | DagangNews Skip to main content

GTR Burger meterai MoU taja FAS untuk pembangunan bola sepak Selangor

GTR Burger menaja FAS selama 3 tahun bermula musim 2024 bagi tujuan pembangunan bola sepak khususnya di Selangor.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Jenama burger jalanan terkenal tempatan, GTR Burger, memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai penaja Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) selama 3 tahun bermula musim 2024 bagi tujuan pembangunan bola sepak khususnya di Selangor seiring dengan identiti FAS.

 

Pengasas GTR Burger, Nordin Mat berkata, ketika mula bertapak di dalam industri, mereka hanya meletakkan sasaran awal untuk fokus menghasilkan burger yang sempurna. 

 

"Bagi menghasilkan burger yang sempurna perlunya ada latihan dan praktikal pada kadar maksimum. Ia seiring dengan identiti FAS yang amat menekankan aspek pembangunan dalam melahirkan pemain yang sempurna. 

 

"Sebab itu GTR Burger memaktubkan perjanjian penajaan ini dengan FAS kerana kita ada perancangan yang lebih besar yang bakal kita laksanakan untuk lebih mendekati industri sukan bola sepak di negara ini," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Dalam majlis tersebut, FAS dan GTR Burger memeterai MoU sempena Pelancaran Musim Ke-3 FAS Women’s Super League (WSL) 2024 pada 28 Januari 2024.

 

FAS diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Muhammad Izrin Nabil Ismail, manakala GTR Burger oleh Nordin selaku Pengerusi Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia Berhad (GTR).

 

 

gtr

 

 

gtr

 

 

Majlis itu disaksikan oleh EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi;  Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar dan Pengasas Bersama GTR Burger, Najib Jalil.

 

 

gtr

 

 

MoU tersebut turut membabitkan rakan penaja musim 2024 yang lain iaitu Joma selaku pakaian rasmi FAS; FAS Drink, minuman rasmi FAS; Koperasi Kangen Selangor Berhad dan Kelme, penaja bola rasmi bagi FAS WSL 2024.

 

Nordin berkata, menerusi penajaan itu, GTR Burger akan terlibat di dalam kira-kira 1,500 perlawanan setiap tahun dengan lebih 300,000 peminat bola sepak yang akan hadir di semua program anjuran FAS.

 

 

gtr

 

 

Katanya, ia turut merangkumi potensi publisiti membabitkan lebih 11 juta penonton menerusi platform dalam talian dan siaran televisyen bagi program pembangunan FAS. 

 

"Sejak kecil, bola sepak adalah permainan utama kita, tidak kiralah di kampung, pekan atau bandar dan sekarang kerana kecintaan kami terhadap bola sepak, dengan bangganya kami kini adalah sebahagian daripada sukan kegemaran ramai ini sebagai penaja rasmi untuk FAS," katanya.

 

 

gtr

 

 

Nordin turut mempelawa semua peminat pasukan Selangor untuk berkunjung ke gerai GTR Burger di seluruh negeri itu untuk merasai keunikan rasa menu GTR Burger. 

 

"Kami bukan hanya sekadar menunjukkan sokongan, tetapi juga untuk berkongsi kenikmatan burger kami yang dibuat dengan hati untuk anda para peminat setia The Red Giants.

 

 

gtr

 

 

"Saya benar-benar tidak sabar untuk bertemu dengan semua penyokong Selangor, datanglah ke gerai kami GTR Burger, sambil kita menyokong kepada pembangunan bola sepak pasukan Selangor, nikmatilah juga GTR Burger," katanya.

 

Tambah beliau, penajaan itu bertujuan membuka peluang kepada peminat bola sepak untuk mengenali GTR Burger dengan lebih dekat dan seterusnya merasai burger GTR, selain memberikan pulangan penjualan dan pemasaran kepada semua peniaga jenama berkenaan di seluruh negeri itu. - DagangNews.com