KUALA LUMPUR 18 Ogos - RHB Research menjangkakan Guan Chong Bhd. akan mengekalkan prestasi yang mantap pada separuh kedua 2022 menerusi operasi Schokinag berikutan kos tenaga yang lebih rendah, permintaan mampan di peringkat global dan kapasiti pengeluaran lebih tinggi.
Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, keuntungan bersih syarikat pengisar koko keempat terbesar dunia itu meningkat 39.3% kepada RM97.9 juta berbanding RM70.3 juta pada tahun sebelumnya, manakala pendapatan mencatatkan kadar pertumbuhan 19.2% kepada RM2.2 bilion daripada RM1.8 bilion sebelumnya.
Keuntungan bersih suku kedua meningkat 22.6% kepada RM44.6 juta daripada RM36.4 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 36.7% kepada RM1.2 bilion berbanding RM876.2 juta disebabkan lebih banyak jualan mentega koko dan kenaikan harga bagi pepejal koko.
Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Guan Chong dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.15 sesaham.
Penganalisis RHB Research, Lee Meng Hong berkata, penilaian semasa adalah menarik bagi pengisar koko terbesar Asia itu dengan asas pendapatan yang konsisten dan kepelbagaian pelanggan.
Katanya, hasil pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada separuh pertama pulih kepada purata RM1,271.3 satu tan metrik (berbanding RM967.4 satu tan metrik bagi separuh pertama 2022) berikutan nisbah serbuk koko yang lebih baik, harga bahan mentah lebih rendah dan skala ekonomi pada volum pengeluaran yang lebih tinggi.
"Pengurusan memberi panduan nisbah serbuk koko akan terus meningkat dan titik perubahan untuk nisbah mentega koko dalam jualan hadapan di tengah-tengah tahap inventori yang lebih rendah di Asia, kos pengangkutan yang normal dan permintaan yang lebih kukuh di seluruh pasaran untuk produk coklat.
"Ini seperti yang dibuktikan dalam aktiviti jualan hadapannya lebih 95% dan kira-kira 60% untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23," katanya dalam nota kajian.
Baca : Guan Chong catat keuntungan bersih RM44.6 juta, meningkat 22.6%
Mengenai pelan pengembangan kumpulan, beliau berkata, fasa pertama pembesaran loji Ivory Coast seberat 60,000 tan setahun kini sedang dimulakan, dengan pengeluaran pertama dijangka pada suku keempat 2022 selepas mengalami beberapa kelewatan dalam pembinaannya.
Di Jerman, katanya, kos tenaga yang terlalu tinggi dijangka turun lebih rendah pada suku berikutnya, memacu keuntungan operasi Schokinag.
"Perbelanjaan modal (capex) sebanyak 10.5 juta euro bagi menaiktaraf kemudahan dijangka selesai pada suku keempat 2022, menjadikan jumlah kapasiti kepada 100,000 tan metrik bagi coklat industri, bagi menampung tempahan yang banyak daripada jenama konfeksi utama.
"Sementara itu, di United Kingdom pula, Guan Chong merancang capex sebanyak 31 juta pound untuk memasang jentera termaju bagi pengeluaran coklat industri dengan kapasiti 16,000 tan metrik menjelang suku keempat ini," jelasnya.
BERITA BERKAITAN: Guan Chong catat keuntungan bersih RM446 juta, meningkat 22.6%
Namun, secara keseluruhan, RHB Research mendapati ketidaktentuan harga bahan mentah, permintaan koko yang lemah dan risiko pelaksanaan pelan pengembangan akan memberi risiko penurunan kepada prospek kumpulan.
Setakat 3.59 petang ini, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.4% kepada RM2.51 dengan 232,700 saham diniagakan. -DagangNews.com