Gugurkan GEG dari RUU Kawalan Produk Merokok | DagangNews Skip to main content

Gugurkan GEG dari RUU Kawalan Produk Merokok

KUALA LUMPUR 8 Okt – Pemain industri vape tempatan menyeru agar Kerajaan menggugurkan GEG dari RUU Kawalan Produk Merokok yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Selasa, 10 Oktober 2023.

 

Menteri Kesihatan telah mengumumkan bahawa Kerajaan akan membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok tersebut di dalam Parlimen yang akan termasuk polisi Generasi Penamat (GEG), di mana ia akan larang penjualan produk vape kepada sesiapa yang lahir selepas 2007 untuk seumur hidup.

 

Timbalan Presiden, Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), Md Sani Md Shah berkata, GEG akan mengakibatkan kesan yang negatif kepada industri tempatan dan ini akan melihat ribuan pekerja bakal hilang pekerjaan dan ramai usahawan akan terpaksa menggulung tikar.

 

"Industri memerlukan peraturan kawal selia dan bukannya GEG. Cadangan yang begitu ekstrem ini akan memaksa perniagaan vape ditutup dan ia akan memberikan kesan kepada keseluruhan ekosistemnya yang akan mengakibatkan ramai bakal kehilangan pekerjaan.”

 

"Malah ia juga akan mengakibatkan pelabur asing dan domestik beralih ke negara jiran seperti Filipina dan Indonesia yang mempunyai dasar yang tidak ekstrem ke atas industri vape,” katanya.

 

Md Sani juga berkata Kementerian Kesihatan mengambil langkah yang salah dengan menyamakan vape dan rokok untuk dikenakan GEG.

 

"Vape tidak boleh disamakan dengan rokok. Ia tidak adil sama sekali kerana kedua-dua produk ini adalah berlainan. Produk vape telah terbukti sebagai alternatif yang kurang mudarat.

 

"Malah, di New Zealand, negara yang melaksanakan GEG, mereka tidak melaksanakannya pada vape kerana negara New Zealand memberi peluang kepada perokok untuk memilih alternatif yang kurang memudaratkan untuk berhenti merokok.

 

"Tambahan juga, baru-baru ini UK telah mencadangkan untuk melaksanakan GEG hanya untuk rokok dan bukannya vape sekali,” katanya.

 

Md Sani turut menyentuh mengenai hak kebebasan pengguna dicabuli dengan cadangan GEG ini dan juga tatacara pelaksanaan yang akan memerlukan setiap pengguna vape memohon lesen atau satu pengesahan untuk membeli produk vape.

 

"Dalam situasi 10 tahun akan datang, kita akan melihat dua individu yang berumur 27 dan 28 tahun di mana kedua-duanya boleh mengundi, memperolehi lesen memandu, berkahwin tetapi salah seorang tidak boleh menggunakan produk vape, walaupun individu tersebut adalah dewasa kerana dilahirkan dalam tahun 2007.”

 

"Selain itu, industri juga tiada penjelasan berkenaan tatacara pelaksanaan dalam GEG. Tetapi untuk melaksanakan GEG, ini bermakna setiap pengguna vape perlu membuat permohonan untuk mendapatkan lesen ataupun pengesahan daripada Kerajaan untuk menggunakan produk vape dan hanya pemegang lesen yang dilahirkan sebelum 2006 akan mendapat lesen itu,” ujarnya lagi.

 

Md Sani berkata ini akan membebankan semua pihak dan mencadangkan agar Kerajaan menggugurkan GEG dari RUU Kawalan Produk Merokok tersebut supaya peraturan untuk kawal selia vape dapat diperkenalkan tanpa dilengahkan lagi. - DagangNews.com