Guru tadika pemangkin pendidikan awal kanak-kanak - FACE UPM | DagangNews Skip to main content

Guru tadika pemangkin pendidikan awal kanak-kanak - FACE UPM

Narimah Badau berpendapat peranan guru tadika sangat penting kepada anak-anak kecil untuk mengenali dunia.

KUALA LUMPUR 16 Mei - Walaupun ramai masyarakat hari ini mungkin terlupa jasa guru tadika, tetapi merekalah insan yang banyak membantu untuk meneruskan kehidupan, bukan sahaja mengajar akademik, tetapi dalam pembangunan kanak-kanak.

 

Namun kerana kanak-kanak adalah insan yang sangat jujur, bagi seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak (FACE) Universiti Putra Malaysia (UPM), Narimah Badau meneruskan cita-cita menjadi seorang guru bagi mendidik mereka dalam bidang akademik dan juga membantu dalam kemahiran sosial, sensori dan banyak lagi.

 

Guru yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu pada mulanya bercita-cita menjadi seorang doktor, namun tidak dapat meneruskannya kerana keluarga tidak mampu menanggung perbelanjaan pengajian beliau, atas sebab itu Narimah meneruskan kerjayanya sebagai guru tadika dan berharap ada anak murid yang berjaya menjadi doktor.

 

"Walaupun ada orang yang mempersoalkan mengapa saya ada ijazah dan master cuma jadi guru tadika? Saya ingin semua orang tahu pada usia satu sehingga enam tahun, peranan guru tadika sangat penting kepada anak-anak kecil ini untuk mengenali dunia.

 

"Guru tadika berperanan penting dalam memberikan pendidikan awal dan tiada sebab berasa malu dengan ijazah saya meskipun tumpuan masyarakat ketika ini masih lagi terarah kepada guru sekolah. Realitinya tugas kami mempunyai cabaran tersendiri sama seperti guru-guru lain. 

 

"Seawal usia empat tahun kami yang membimbing mereka yang masih belum pandai mengawal emosi dan tingkah laku dalam bidang pembelajaran iaitu menulis dan membaca, meskipun ada yang tidak pandai memegang pensel," katanya.

 

Sebagai guru tadika katanya, mereka adalah insan pertama yang melihat perkembangan kanak-kanak. 

 

 

upm

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Ia adalah sebuah perasaan yang sangat gembira walaupun kerjaya ini sangat penat kerana perlu melayan kerenah emosi kanak-kanak yang tidak dapat dijangka setiap hari dengan kesabaran yang cukup tinggi, katanya.

 

"Kanak-kanak adalah insan yang sangat mententeramkan jiwa. Andai waku itu nak marah, hilang begitu sahaja perasaan ini kerana keikhlasan hati mereka yang melayan kita sebagai guru mereka.

 

"Lebih-lebih lagi apabila kita sebagai guru yang melihat sendiri perkembangan awal kanak-kanak tersebut. Saya berasa sangat gembira atas pencapaian setiap kanak-kanak walaupun ia berbeza mengikut tahap penguasaan masing-masing namun jangan dibanding-bandingkan," kata Narimah.

 

upm

 

 

upm

 

 

Sebagai guru tadika yang telah berkhidmat selama 25 tahun, ketika awal perkhidmatannya pada 1999, beliau tidak mampu bertahan dan meletak jawatan kerana tidak mampu menguruskan kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah. 

 

Ini kerana tidak mudah bagi tugas seorang guru tadika yang memerlukan kesabaran tinggi. Tetapi Narimah mengubah keputusan untuk terus mendidik kanak-kanak sehingga sekarang. - DagangNews.com