Azam Jaya berada pada kedudukan positif catat pertumbuhan berterusan - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Azam Jaya berada pada kedudukan positif catat pertumbuhan berterusan - TA Securities

Lebuhraya Pan Borneo , salah satu projek pembinaan Azam Jaya - Gambar hiasan dari laman web rasmi Azam Jaya
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Oktober - TA Securities menjangkakan, Azam Jaya Bhd berada pada kedudukan positif untuk mencatatkan pertumbuhan berterusan dengan kumpulan itu menyasarkan untuk mengumpul RM61.5 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang dijadualkan pada 11 November 2024.

 

Azam Jaya memegang 5.9% bahagian pasaran dalam sektor kejuruteraan awam Sabah setakat 2023, menjana pendapatan sebanyak RM274.8 juta.

 

Kumpulan itu kini menguruskan sembilan projek aktif dengan buku pesanan tertunggak sebanyak RM1.5 bilion. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan Azam Jaya meningkat 21.3% kepada RM280.8 juta pada 2023 daripada RM231.5 juta didorong oleh pengebilan lebih tinggi daripada projek Lebuhraya Pan Borneo dan projek menaik taraf Jalan Lintas, serta penambahan kerja konsisten.

 

"Walaupun syarikat pembinaan itu menyaksikan pertumbuhan, keuntungan bersih teras merosot sebanyak 23.8%, jatuh daripada RM34.1 juta pada tahun kewangan 2021 (FY21) kepada RM26 juta pada FY23.

 

"Kemerosotan itu disebabkan peningkatan kos input, peningkatan perbelanjaan pentadbiran dan kewangan serta pengiktirafan elaun jangkaan kerugian kredit," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu turut berkata, kumpulan itu mungkin menerima manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pembangunan kerajaan persekutuan di Sabah dan Sarawak, yang masing-masing berjumlah RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion pada 2025.

 

"Melangkah ke hadapan, kami meramalkan kumpulan mencatat pertumbuhan pendapatan teras sebanyak 13.5%, 73.8% dan 16% kepada RM29.5 juta, RM51.3 juta dan RM59.5 juta bagi FY24, FY25 dan FY26.

 

“Pertumbuhan ini akan didorong oleh buku pesanan kukuhnya sebanyak RM1.5 bilion, yang akan memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2028, penambahan pekerjaan baharu sebanyak RM500 juta pada FY25 dan FY26 serta mencecah purata margin bersih sebanyak 10.2%,” katanya.

 

Katanya, harga IPO Azam Jaya pada 78 sen sesaham kumpulan itu dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 15 kali ganda pendapatan teras sesaham (EPS) FY23.

 

“Kami menganggarkan PER sasaran sebanyak 15 kali EPS FY25 dan mencapai nilai saksama RM1.54 sesaham, memberikan peningkatan lumayan sebanyak 97.4%.

 

“Kami percaya gandaan PER yang diperuntukkan adalah munasabah disokong oleh pulangan ekuiti dan margin bersih yang tinggi berbanding rakan setaranya yang mempunyai perniagaan, pelanggan sasaran dan permodalan pasaran yang serupa,” katanya. - DagangNews.com