Dua projek baharu diramal menyumbang untung bersih RM3.5 juta kepada Kerjaya Prospek - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Dua projek baharu diramal menyumbang untung bersih RM3.5 juta kepada Kerjaya Prospek - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - TA Securities menjangkakan dua projek baharu yang diraih Kerjaya Prospek akan menyumbang keuntungan bersih sebanyak RM3.5 juta sepanjang tempoh projek itu berlangsung.

 

Katanya, kumpulan pembinaan itu menerusi Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM) semalam menerima surat lantikan bernilai RM18.45 juta daripada Greencove Sdn Bhd dan surat lantikan bernilai RM15.98 juta daripada Pixel Valley Sdn Bhd.

 

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan ia merupakan projek kesembilan dan kesepuluh yang diperoleh kumpulan itu pada 2024, ia menjadikan jumlah kemenangan pekerjaan baharu kepada RM1.5 bilion.

 

"Kedua-dua kontrak baharu ini akan meningkatkan jumlah buku pesanan tertunggak Kerjaya Prospek kepada anggaran RM4.6 bilion, diterjemahkan kepada 3.1x hasil FY23.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan kerana jumlah kemenangan pekerjaan baharu itu menyaksikan kumpulan itu masih belum mencapai sasaran penambahan pekerjaan baharu sebanyak RM1.8 billion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek peroleh dua kontrak pembangunan berjumlah RM34.4 juta

 

Terdahulu, kontrak pertama kumpulan itu adalah berkaitan pembersihan tapak, kerja-kerja tanah, cerucuk dan kerja-kerja struktur berkaitan bagi cadangan pembangunan di Damansara Damai, Selangor.

 

Kontrak kedua membabitkan kerja-kerja cerucuk dan tukup cerucuk bagi cadangan pembangunan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

Firma penyelidikan itu menyukai Kerjaya Prospek kerana keterlihatan pendapatan yang kukuh, penambahan semula buku pesanannya yang konsisten dan kukuh serta potensi pertumbuhan dalam pembinaan hartanah industri yang memanfaatkan perkongsian dengan Samsung.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.79 sesaham," katanya. - DagangNews.com