The Exchange TRX beri impak kecil kepada landskap pusat beli-belah mewah di Malaysia, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

The Exchange TRX beri impak kecil kepada landskap pusat beli-belah mewah di Malaysia, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - Kewujudan The Exchange TRX hanya memberi impak kecil kepada pemain industri amanah pelaburan hartanah (REIT) sedia ada dalam landskap pusat beli-belah mewah di Malaysia, kata Kenanga Research.

 

Katanya, ia juga tidak mengurangkan faktor tarikan pusat beli-belah berhampiran.

 

Firma penyelidikan itu berkata, majoriti pelancong masih cenderung untuk membeli-belah di Suria KLCC kerana mereka lebih tertarik dengan mercu tanda ikonik Menara Berkembar Petronas.

 

"Selain itu, ramai individu berpendapatan tinggi di Lembah Klang masih lebih suka membeli-belah di Bukit Bintang, lokasi terletaknya pusat beli-belah seperti Pavilion KL," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beberapan jenama terkemuka juga telah menubuhkan kedai utama mereka di TRX seperti Jimmy Choo dan Gentle Monster.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan tinjauan, hanya 13% responden melihat peningkatan pembeli berbanding awal tahun.

 

"Pemerhatian kami juga mendedahkan bahawa pusat beli-belah TRX  sibuk pada waktu makan tengah hari, terutamanya di tingkat bawah di mana terletaknya kebanyakan kedai makanan dan minuman.

 

"Bagaimanapun, kehadiran pelanggan yang ramai tidak bermaksud ia menyumbang kepada jualan jenama mewah," katanya.

 

Jualan jenama mewah di TRX berada dalam aliran menurun sejak pertengahan 2024, sebahagiannya disebabkan faktor bermusim, seperti ketiadaan perayaan utama seperti Tahun Baru Cina atau sambutan hari raya, yang biasanya meningkatkan perbelanjaan.

 

Katanya, penduduk tempatan yang mewah memilih untuk membeli-belah di luar negara, mengambil kesempatan daripada pengukuhan ringgit untuk membeli barangan mewah pada harga yang lebih baik, seterusnya menyumbang kepada penurunan dalam jualan tempatan.

 

"Walaupun jenama yang lebih besar nampaknya dapat menguasai trafik yang dipuji, kami juga mendengar daripada beberapa peruncit bahawa mereka masih bergelut untuk mencapai sasaran jualan mereka.

 

"Daripada data yang dikumpulkan, majoriti merekodkan perolehan di bawah RM1 juta dan kami mendapati 30% jenama mewah menjana pendapatan bulanan yang lebih tinggi antara RM1 juta dan RM3 juta manakala 20% daripada mereka boleh mencatatkan pendapatan melebihi RM3 juta.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor REIT. - DagangNews.com