MIDF optimis terhadap sektor pengguna berikutan dasar meningkatkan pendapatan isi rumah dalam Belanjawan 2025 | DagangNews Skip to main content

MIDF optimis terhadap sektor pengguna berikutan dasar meningkatkan pendapatan isi rumah dalam Belanjawan 2025

Gambar hiasan NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - MIDF Research optimistik terhadap sektor pengguna berikutan Belanjawan 2025 baru-baru ini yang menggariskan dasar untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan mengekalkan perbelanjaan pengguna melalui langkah komprehensif.

 

Firma Penyelidikan itu berkata, inisiatif utama termasuk meningkatkan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR), peningkatan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 pada Februari 2025 dan menyediakan subsidi bersasar untuk petrol RON95 bagi memastikan harga stabil bagi kira-kira 85% rakyat Malaysia.

 

"Secara keseluruhan, kami kekal optimis mengenai sektor pengguna, disokong oleh pasaran buruh yang stabil yang terus memacu penggunaan domestik.

 

"Prospek sektor pengguna yang positif dirangsang oleh penggunaan swasta yang menggalakkan dan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK)," kataanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Laporan itu berkata, penurunan harga komoditi dan ringgit yang lebih kukuh akan meningkatkan margin pengeluar makanan dan minuman, meningkatkan lagi tinjauan sektor itu, kata laporan itu.

 

"Kami menetapkan saranan "beli" untuk pilihan utama F&N dan AEON dengan harga sasaran masing-masing RM37.00 dan RM1.67.

 

"Peningkatan dalam penggunaan luar rumah dan perniagaan penternakan tenusu bersepadu baharunya ditetapkan untuk meningkatkan pendapatan F&N.

 

"Bagi AEON, permintaan tempatan kukuh terhadap barangan keperluan dan perkhidmatan pengurusan hartanahnya, hasil daripada kadar pembaharuan sewa yang lebih baik akan membantu kumpulan itu berkembang maju," katanya. - DagangNews.com