Hadir kuliah tahun pertama-akhir sahaja, mudahkan graduan masuki alam pekerjaan | DagangNews Skip to main content

Hadir kuliah tahun pertama-akhir sahaja, mudahkan graduan masuki alam pekerjaan

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

GOLONGAN belia terutamanya lepasan sekolah sewajarnya memanfaatkan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal, di mana pelajar diwajibkan hanya menghadiri kuliah di kampus pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.

 

Tuntasnya, tiada lagi alasan untuk kelompok ini untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan kedudukan keluarga.

 

Antara inisiatif lain yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini ialah, untuk tahun pengajian di pertengahannya pula, mahasiswa akan diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas dan setakat ini sebanyak 95 program pengajian Ijazah Sarjana Muda di 19 daripada keseluruhan 20 universiti awam di seluruh negara bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula Sesi Akademik 2023/2024.

 

Melalui inisiatif seperti ini, antara manfaat penting kepada mahasiswa ialah, menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja, sekali gus mereka dapat menyusun aktiviti dengan lebih fleksibel.

 

Langkah ini akan memberi beberapa kelebihan seperti dapat mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan, membuka ruang untuk bekerja sambilan atau melakukan perkara yang memerlukan mereka tidak berada di kampus.

 

Selain itu bagi memudahkan para graduan segera memasuki alam pekerjaan, KPT juga akan memendekkan tempoh pengajian sesetengah program Ijazah Sarjana Muda daripada empat tahun kepada hanya tiga tahun.


 

parafrasa

 

Sebagai permulaan, sebanyak 44 program pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada sembilan IPT sudah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.

 

Satu lagi inisiatif yang menarik ialah, KPT buat pertama kalinya akan memperkenalkan Program Asasi Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pada tahun ini yang membolehkan pemohon program TVET yang berjaya, akan ditempatkan di satu daripada lima Pusat Asasi TVET terpilih yang akan dibuka di seluruh negara.

 

Ini sekali gus akan menjadi satu laluan yang sistematik dan jelas kepada kelompok ini untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah kelak.

 

Ironinya, kita dapat lihat pihak kerajaan memandang serius keperluan untuk menyediakan akses pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan mesra belia bagi meningkatkan tahap motivasi mereka untuk menyambung pengajian ke pelbagai peringkat melalui budaya pembelajaran sepanjang hayat.

 

Hal ini dilihat sangat signifikan kerana pendedahan beberapa laporan baru-baru ini berkaitan keengganan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi agar membimbangkan.

 

Media baru-baru ini mendedahkan, hanya sekitar 40 peratus daripada purata 500,000 lepasan SPM direkod melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau menyertai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) setiap tahun.

 

Ini bermakna sekitar 300,000 daripada jumlah itu tidak melanjutkan pelajaran dan kemungkinan besar bekerja dalam sektor kilang atau e-hailing.

 

Fenomena ini sangat tidak sihat untuk masa depan belia dan juga negara. Justeru kita berharap para belia akan membuka mata dan merebut segala peluang yang disediakan oleh KPT seperti ini untuk memajukan diri dan meningkatkan taraf hidup keluarga.

 

 

parafrasa

 

 

Golongan belia perlu sedar adalah terlalu awal dan cepat untuk memasuki alam pekerjaan sejurus selepas SPM, sebaliknya perlu bijak membuat pilihan dan keputusan mengambil kira keperluan dan cabaran pada masa akan datang.

 

Misalnya, tidak salah untuk menceburi bidang ekonomi gig apatah lagi dilihat menjanjikan pendapatan lumayan dalam jangka masa pendek berbanding makan gaji namun kita perlu melihat senario ini dalam spektrum yang lebih besar dan untuk tempoh jangka masa panjang mencakupi aspek jaminan terhadap masa depan kerjaya mereka selain boleh menjejaskan pengeluaran tenaga kerja mahir di negara ini.

 

Dalam konteks ini para guru dan ibu bapa diharap dapat membantu anak-anak ini membuat satu keputusan yang cermat dan bijak. Sedarkan mereka kepentingan ilmu dan kemahiran yang boleh menjamin masa depan mereka.

 

Hakikatnya, belia perlu merebut peluang ini sementara masih muda dan kurang komitmen lain supaya lebih bersemangat untuk menyambung pengajian berbanding apabila sudah meningkat dewasa terutamanya setelah berkeluarga.

 

 

parafrasa

 

 

Jadi belia perlu sedar proses pendidikan dan pembelajaran tidak boleh ada tanda noktah sebaliknya perlu menjadi proses yang berterusan sepanjang hayat.

 

Ingat, masa depan memerlukan individu yang berilmu dan berkemahiran untuk meneruskan survival kehidupan. Semoga langkah terkini KPT ini akan memberi manfaat yang besar kepada golongan belia di negara ini. – DagangNews.com