Haier kini rakan kongsi rasmi Asia Tenggara BWF 2024-2025 | DagangNews Skip to main content

Haier kini rakan kongsi rasmi Asia Tenggara BWF 2024-2025

Owen Leed (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Haier Asia Tenggara, Zhang Zhenghui ketika memeterai perjanjian Haier sebagai rakan kongsi rasmi Asia Tenggara BWF di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Haier mengumumkan syarikat itu menjadi rakan kongsi rasmi Asia Tenggara Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk 2024 hingga 2025.

 

Pemeteraian perjanjian yang berlangsung di Jakarta, Indonesia sebagai rakan kongsi rasmi itu adalah bersempena kejohanan badminton Terbuka Malaysia Petronas 2024, baru-baru ini.

 

Pengarah Komersial dan Komunikasi BWF, Owen Leed berkata, badminton adalah sebagai satu sukan diminati ramai dengan lebih daripada 700 juta peminat global. 

 

Katanya, mewujudkan kerjasama dengan jenama terkemuka global seperti Haier akan membantu menggalakkan pembangunan dan mempopularkan lagi sukan tersebut.

 

"Ia membolehkan kita memupuk nilai bersama seperti kerja keras dan ketabahan, membawa lebih keseronokan kepada peminat badminton dan menyokong pembangunan sukan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengarah Urusan Haier Malaysia, Fan Jing pula berkata, badminton adalah permainan yang menyatukan semua dan pihaknya berbesar hati dengan semangat yang ditunjukkan rakyat Malaysia dan rakan-rakan Asia Tenggara.

 

"Pada penghujung 2023, kami berkongsi tumpuan kami yang semakin meningkat untuk menyelaraskan dengan pemasaran sukan dengan usaha untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencapai perkara lebih besar. 

 

 

haier

 

 

"Di Malaysia, Haier baru-baru ini melanjutkan kerjasama dengan pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk tempoh setahun lagi," katanya.

 

Katanya, sejak Aaron dan Wooi Yik dilantik sebagai duta jenama pada 2023, Haier berjaya menganjurkan Piala Haier yang julung kali diadakan di Malaysia, selain kejohanan tersebut akan menjadi pertandingan tahunan serta diperluaskan ke lebih banyak lokasi tahun ini, termasuk Sarawak.

 

 

haier

 

 

"Kerjasama dengan BWF ini merupakan langkah positif bagi kami dalam komitmen untuk mencapai lebih banyak lagi dan memberi inspirasi kepada mereka. Kami berharap dapat mendedahkan generasi akan datang bakat untuk meneruskan legasi Malaysia di gelanggang badminton," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, selain Terbuka Petronas Malaysia 2024, Haier juga akan menaja Perodua Malaysia Masters 2024, yang mana kedua-dua adalah kejohanan Jelajah Dunia HSBC BWF.

 

 

haier

 

 

"Selain badminton, Haier bekerjasama dengan pelbagai acara sukan antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk tenis Terbuka Perancis, Roland Garros dan Nitto ATP. Haier juga menjadi rakan kongsi rasmi Liga Bola Keranjang Filipina untuk empat tahun berturut-turut," katanya. - DagangNews.com