Hampir 70,000 anggota keselamatan, penyelamat dikerah sebagai persediaan hadapi banjir - PM | DagangNews Skip to main content

Hampir 70,000 anggota keselamatan, penyelamat dikerah sebagai persediaan hadapi banjir - PM

KUALA LUMPUR 25 Okt - Seramai 69,235 anggota keselamatan dan penyelamat di seluruh negara sedia dikerahkan untuk menghadapi bencana banjir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, jumlah berkenaan merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 21,018, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (18,511), Jabatan Bomba dan Penyelamat (14,829,) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (10,510) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) (4,367).

 

“Jumlah berkenaan akan ditambah sekiranya ia tidak mencukupi.

 

“Untuk banjir pihak PDRM telah bersedia...bukan setakat PDRM tetapi bersama agensi-agensi lain di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri) seperti RELA, selain APM dan ATM,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas Taklimat Pilihan Raya Umum ke-15 dan Monsun Timur Laut 2022 di Bukit Aman, di sini, hari ini, lapor Bernama.

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan timbalannya Tan Sri Razarudin Husain.

 

Mengenai persiapan logistik menghadapi bencana banjir, Perdana Menteri berkata, 1,816 bot PDRM, kenderaan pacuan empat roda (1,810), lori (1,596), 19 aset udara dan lain-lain aset udara akan terlibat untuk operasi banjir.

 

“Kalau kita lihat monsun (timur laut) ini mungkin berlaku di Pahang atau Kelantan dan Terengganu walaupun kadang-kadang berlaku di barat seperti di Selangor tetapi ia tidaklah berlaku serentak di seluruh Malaysia. Kita harap tidaklah (berlaku banjir besar) seperti biasa.

 

“Kalau banjir berlaku di kawasan dan negeri-negeri tertentu, anggota yang digerakkan pada kali ini mencukupi untuk menjaga kepentingan rakyat terutamanya yang terlibat pada waktu banjir,” katanya.

 

Mengulas mengenai sekiranya berlaku banjir luar biasa di seluruh negara, Ismail Sabri berkata jumlah keanggotaan akan ditambah mengikut keperluan. - DagangNews.com