Handal dapat lanjutan kontrak setahun dari Petronas | DagangNews Skip to main content

Handal dapat lanjutan kontrak setahun dari Petronas

Kontrak itu melibatkan kerja-kerja Kejuruteraan, Perolehan, Fabrikasi, Pemasangan, Pentauliahan, Pemeriksaan dan Penyelenggaraan. - Gambar hiasan

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jun - Handal Energy Berhad memperoleh lanjutan kontrak selama setahun dari Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) bagi kerja-kerja Kejuruteraan, Perolehan, Fabrikasi, Pemasangan, Pentauliahan, Pemeriksaan dan Penyelenggaraan. 

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikatnya, Borneo Seaoffshore Engineering Sdn. Bhd. (BSOE) yang mana Handal memiliki 51% pegangan.

 

PCSB pula adalah anak syarikat milik penuh syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

 

Dalam kenyataan, Handal berkata, perjanjian baharu ini adalah lanjutan daripada kontrak asal BSOE dan PCSB bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan untuk Pig Trap System mulai 23 Julai 2021 hingga 22 Julai 2022. 

 

Bagaimanapun, tiada nilai spesifik bagi lanjutan kontrak ini kerana ia berjalan berdasarkan 'call-out' yang mana PCSB akan mengeluarkan perintah kerja kepada Handal berdasarkan jadual dan kadar harga aktiviti mereka sepanjang tempoh kontrak.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Handal, Sunildeep Dhaliwal berkata, lanjutan kontrak ini dapat mengukuhkan kerjasama jangka panjang dengan PCSB. 

 

Katanya, BSOE telah menyokong operasi PCSB sejak 2016 dengan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan yang berkaitan. 

 

"Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini dan menyediakan perkhidmatan dengan standard yang tinggi bagi menyokong operasi PCSB. 

 

"Dalam masa sama, kami jangkakan lanjutan kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022," katanya. - DagangNews.com