Handal Energy disebut-sebut bakal menyaksikan perubahan pegangan saham, termasuk kemungkinan babitkan GLC | DagangNews Skip to main content

Handal Energy disebut-sebut bakal menyaksikan perubahan pegangan saham, termasuk kemungkinan babitkan GLC

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Syarikat mengkhusus dalam pembuatan, penyelenggaraan dan servis kren luar pesisir, Handal Energy Berhad kini dipantau pedagang dan pelabur di Bursa Malaysia berikutan beberapa pergerakan yang menarik perhatian mereka.

 

Sejak kebelakangan ini, `bisikan' peningkatan jumlah dan kenaikan harga telah tersebar dalam kalangan elit pelabur.

 

Ini susulan satu perkembangan yang berlaku secara senyap-senyap membabitkan pemegang saham penting di dalam Handal iaitu Deepetro Offshore Brokers Pte Ltd.

 

TERBAHARU 9 OGOS 2023: Saham Handal Energy meningkat ke paras tertinggi selepas Deepetro Offshore muncul sebagai pemegang saham utama

 

Menurut seorang pedagang, sekitar 26.06 juta unit Saham Keutamaan Boleh Tukar Tidak Boleh Tebus (ICPS) Handal telah berubah menjadi saham biasa.

 

"Ini bukan penghujung cerita, pasaran juga mendapat khabar mengenai perolehan saham tambahan, yang berpotensi mendorong harga saham Handal ke tahap tinggi.

 

"Bisikan tentang perubahan pegangan saham akan berlaku banyak - malah ada yang membayangkan hubungan dengan GLC," kata beliau.

 

Dalam dunia kewangan yang penuh teka-teki, peralihan pegangan saham yang ketara sering meramalkan evolusi asas syarikat.

 

Setakat tengah hari ini, saham Handal Energy mencatat kenaikan 5 sen atau 2.17% meletakkan modal pasarannya pada RM62.68 juta. - DagangNews.com