Hanya 12% berpuas hati dengan tindakan kerajaan bantu rakyat miliki rumah - kajian PropertyGuru | DagangNews Skip to main content

Hanya 12% berpuas hati dengan tindakan kerajaan bantu rakyat miliki rumah - kajian PropertyGuru

Kajian mendapati lebih separuh daripada responden menjangkakan harga hartanah akan meningkat pasca pandemik. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Mac – Rakyat Malaysia kini melihat hartanah sebagai lindung nilai terhadap inflasi dengan 53% pemilik rumah merancang untuk membeli hartanah tambahan menjelang 2023 bagi tujuan pelaburan, demikian menurut Kajian Sentimen Pengguna Separuh Pertama 2022 yang dikeluarkan PropertyGuru Malaysia hari ini.

 

Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Shylendra Nathan berkata, dengan peningkatan inflasi ketika ekonomi mula pulih daripada pandemik, lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada pasaran perumahan yang menawarkan pilihan pelaburan yang lebih menarik.

 

Katanya, ia secara tidak langsung menjadikannya sebagai alternatif yang baik kepada pasaran saham yang tidak menentu.

 

“Oleh itu, kajian ini juga mendapati lebih separuh daripada jumlah responden (55%) menjangkakan harga hartanah akan meningkat pasca COVID-19. 

 

"Tidak hairanlah, jika mereka yang mempunyai kemampuan sedang mempertimbangkan untuk membeli hartanah pelaburan, terutamanya dalam persekitaran kadar faedah rendah buat masa ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

propertyguru

 

 

Dalam aspek pembelian rumah kediaman, kajian itu mendapati lebih separuh (55%) pencari rumah Malaysia sedang mempertimbangkan hartanah yang terletak di pinggir bandar. 

 

 

Antara sebab utama yang diberi bagi pertimbangan ini ialah persekitaran yang senyap dan tenang, harga lebih baik, lebih banyak kehijauan dan rumah bersaiz besar, serta jauh dari bandar.

 

Minat yang semakin meningkat untuk rumah di luar pusat bandar secara tidak langsung menggambarkan trend kerja jarak jauh yang didorong oleh pandemik. 

 

Menurut kajian itu, 1 daripada 3 rakyat Malaysia yang ditinjau berkata, mereka kini bekerja dari rumah dan akan terus berbuat demikian selepas pandemik berakhir. 

 

Ini mempengaruhi persepsi kepentingan mempunyai ruang pejabat di rumah, kerana majoriti rakyat Malaysia (79%) percaya ia penting untuk mempunyai bilik tambahan semasa membangunkan hartanah baharu, walaupun selepas pandemik berlalu.

 

 

propertyguru

 

 

Bagi proses mencari dan membeli rumah berikutan pendemik pula, 2 daripada 3 rakyat Malaysia menjawab bahawa mereka selesa dengan menyenarai pendek dan melihat hartanah secara dalam talian manakala lebih daripada 1 dalam 4 selesa untuk menandatangani perjanjian jualan secara dalam talian. 

 

Malah, 10% rakyat Malaysia selesa menjalankan semua proses pembelian secara dalam talian dari awal hingga akhir, menunjukkan betapa pentingnya bagi industri hartanah untuk mempercepatkan penggunaan digital bagi memenuhi tingkah laku pengguna yang semakin berubah.

 

Dalam pada itu, sebanyak 46% daripada peserta moratorium yang ditinjau dalam kajian itu mendapati bantuan kewangan membantu dalam menguruskan kos sara hidup mereka, dan 26% menyatakan mereka berjaya membina semula simpanan mereka kerana moratorium.

 

Dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini, pelbagai inisiatif kerajaan seperti Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan moratorium pinjaman telah memberi manfaat kepada pencari rumah dan pemilik rumah. 

 

Malah, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendedahkan bahawa HOC menyumbang kepada 73,503 jualan kediaman bernilai RM47.38 bilion selepas diskaun, antara Jun 2020 hingga September 2021. 

 

Dengan berakhirnya inisiatif berkenaan, pengguna menyeru supaya kerajaan amemberikan sokongan selanjutnya kerana mereka terus berdepan cabaran pemilikan rumah. 

 

Menurut kajian itu, golongan bukan pemilik hartanah menyatakan mereka menghadapi kesukaran untuk membuat pinjaman perumahan kerana gaji mereka yang tidak stabil (47%) dan ketidakmampuan untuk membayar wang pendahuluan (41%). 

 

Salah satu langkah yang 53% rakyat Malaysia jangkakan daripada kerajaan ialah lanjutan tempoh pinjaman perumahan daripada 35 tahun kepada 40 tahun.

 

Langkah itu dapat membantu mengurangkan bayaran balik bulanan sekali gus membolehkan kelayakan pinjaman rumah yang lebih tinggi.

 

Shylendra Nathan
Shylendra Nathan

 

Dalam hal ini, Shylendra berkata, hanya 12% rakyat Malaysia berpendapat bahawa kerajaan telah melakukan yang secukupnya untuk menjadikan rumah mampu dimiliki di negara ini. 

 

"Ia merupakan mata terendah yang dicatatkan oleh Kajian Sentimen Pengguna kami sejak 2017. 

 

"Memandangkan rakyat Malaysia baru bangkit semula dan perlahan-lahan membina semula keyakinan pembelian selepas bertahan semasa pandemik, lebih banyak insentif diperlukan untuk membantu merangsang pasaran hartanah," jelas beliau.

 

Sehubungan itu, menurutnya, PropertyGuru komited untuk menyokong kedua-dua pihak kerajaan dan pengguna untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah idaman. - DagangNews.com