Hanya 32% pencarum ada baki Akaun 1 KWSP RM1,000 | DagangNews Skip to main content

Hanya 32% pencarum ada baki Akaun 1 KWSP RM1,000

KWSP

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Sebanyak 32% daripada keseluruhan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negara ini mempunyai baki caruman RM1,000 dalam Akaun 1 mereka.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, 10% pencarum lain pula mempunyai anggaran baki RM5,000 dalam akaun berkenaan.

"Saya ingin ceritakan satu perkara yang belum pernah lagi saya ceritakan. Kita kena fikirkan penyelesaian jangka panjang untuk pencarum kita kerana mereka adalah isu struktur yang negara kita 'tackle' dalam masa sederhana dan panjang.

"Kalau kita lihat data KWSP yang ada, 32% daripada jumlah pencarum dalam KWSP mempunyai anggaran baki RM1,000 dalam Akaun 1, manakala 10% mempunyai anggaran baki dalam RM5,000.

"Jadi 42% pencarum KWSP mempunyai anggaran baki RM5,000 dan ke bawah. Ini ialah salah satu isu struktur. Jaringan keselamatan sosial itu penting, ini isu yang kerajaan akan fokus buat masa sederhana dan panjang," katanya katanya dalam Wawancara Khas, Buletin Utama TV3 malam tadi.

 

Zafrul Tengku Abdul Aziz
Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Wawancara Khas, Buletin Utama TV3 malam tadi.

 

Dalam wawancara berkenaan, beliau turut menyentuh berkaitan pengeluaran bersasar Akaun 1 KWSP yang berjumlah RM500 sebulan.

Baca: MoF nasihatkan KWSP benar lebih ramai keluarkan Akaun 1

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan beliau, kerajaan memutuskan untuk membenarkan pengeluaran KWSP Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah hingga RM6,000 selama 12 bulan.

Pengeluaran itu adalah bagi membantu ahli-ahli KWSP yang kehilangan pekerjaan dan dijangka mengurangkan beban kira-kira 600,000 ahli yang terjejas.

Jelas beliau, selepas mengambil kira kedua-dua inisiatif daripada i-Lestari dan kemudahan pengeluaran Akaun 1, keseluruhan pengeluaran tunai berjumlah RM12,000.

Unjuran keseluruhan bayaran bagi Akaun 1 melibatkan RM4 bilion dan boleh dimohon oleh ahli yang layak mulai Januari 2021. - DagangNews.com