Hap Seng cadang lupus HS Credit (Manchester) kepada pemegang saham terbesar Lau Cho Kun pada harga RM840 juta | DagangNews Skip to main content

Hap Seng cadang lupus HS Credit (Manchester) kepada pemegang saham terbesar Lau Cho Kun pada harga RM840 juta

KUALA LUMPUR 23 Mac - Hap Seng Consolidated Bhd telah bercadang untuk melupuskan keseluruhan pegangannya dalam HS Credit (Manchester) Ltd (HCML) pada harga £152.96 juta atau hampir RM840 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu berkata anak syarikat tidak langsungnya, HSC Manchester Holding Pte Ltd telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan Lei Shing Hong Capital Ltd  untuk cadangan pelupusan itu.

 

Pemegang saham utama Lei Shing Hong Capital ialah Tan Sri Lau Cho Kun, yang merupakan pemegang saham terbesar Hap Seng.

 

“Berdasarkan penyata kewangan disatukan yang diaudit Hap Seng untuk tahun kewangan 2021, cadangan pelupusan itu dijangka meningkatkan keuntungan proforma lebih kurang RM558.43 juta,” kata kumpulan dalam makluman itu.

 

HCML merupakan anak syarikat HSC Manchester yang telah diperbadankan di England dan Wales pada 5 Mac 2018 dan terlibat terutamanya dalam penyediaan pinjaman berjangka kepada syarikat di United Kingdom.

 

Menurut makluman tersebut, pertimbangan penjualan dibuat atas dasar ‘pembeli-sanggup penjual-sanggup’ selepas mengambil kira aset bersih HCML yang telah diaudit sebanyak £50.99 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Di samping itu, pertimbangan penjualan itu mengambil kira keuntungan teraudit selepas cukai HCML sebanyak £986,000 iaitu bersamaan RM5.27 juta pada FY22.

 

Pertimbangan itu dilaksanakan kepada nisbah harga kepada nilai buku (PBR) tersirat sebanyak tiga kali berdasarkan penyata kewangan HCML yang telah diaudit pada 31 Disember 2022 menjadikan pertimbangan itu melebihi purata PBR syarikat setanding, kata kumpulan itu.

 

Jumlah pinjaman Hap Seng pada 31 Disember 2022 adalah kira-kira RM7.07 bilion, di mana kumpulan itu berhasrat menggunakan sebahagian daripada hasil cadangan pelupusan itu untuk mengurangkan RM650 juta daripada pinjaman sedia ada. -DagangNews.com