HappyFresh Supermarket diperluas di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

HappyFresh Supermarket diperluas di Asia Tenggara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Platform barangan runcit dalam talian Asia Tenggara, HappyFresh melancarkan HappyFresh Supermarket untuk meningkatkan akses kepada barangan runcit segar dan kering dengan memperluaskan kehadiran syarikat tersebut di rantau ini.

 

HappyFresh menyediakan pengalaman pembelian barangan runcit secara dalam talian yang mudah, dengan produk berkualiti tinggi dibawakan terus ke depan pintu rumah pelanggan dan penghantaran percuma bagi setiap pesanan.

 

Setelah dilancarkan di Jakarta, Kuala Lumpur dan Bangkok, HappyFresh Supermarket menawarkan harga kompetitif serta memberikan nilai untuk wang hebat kepada para pelanggan bagi pembelian mereka, tanpa kehabisan stok.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HappyFresh, Guillem Segarra berkata, HappyFresh Supermarket semakin hampir dengan visi untuk membawakan kemudahan dalam kehidupan pelanggan.

 

Jelasnya, dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran, pihaknya dapat menyaksikan minat yang mengagumkan dengan pertumbuhan pengguna dari bulan ke bulan sebanyak 300%. 

 

"Untuk memenuhi permintaan ini, kami akan melancarkan lebih banyak lagi pusat kemudahan untuk meningkatkan kawasan liputan dan menyediakan akses yang lebih baik. Barangan runcit sememangnya dalam DNA kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Segarra berkata, industri barangan runcit kini sedang mengalami transformasi besar yang didorong perubahan asas dalam tabiat membeli-belah. 

 

 

happyfresh

 

 

"Memandangkan ini adalah industri bernilai $300 bilion, ia akan membentuk asas kepada bagaimana 100 juta orang seterusnya akan membeli barangan runcit dan ia akan menjadi tumpuan utama kami sebagai sebuah syarikat," katanya.

 

 

happyfresh

 

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan HappyFresh Malaysia, Hunhui Hu pula berkata, selain mengutamakan harga kompetitif, pengguna turut meletakkan keutamaan pada kualiti perkhidmatan.

 

 

happyfresh
Guillem Segarra

 

 

"Industri e-dagang di Malaysia telah berkembang dengan pesat dalam tahun-tahun kebelakangan ini, yang didorong peningkatan penggunaan telefon pintar dan kesanggupan pembeli membuat pembelian dari luar negara. 

 

"Kira-kira 62% rakyat Malaysia kini membuat pembelian secara dalam talian, kebanyakannya melalui peranti mudah alih (47%) dan dijangka akan meningkat sebanyak 31.4%. Pandemik COVID-19 mencetuskan transformasi daripada segi strategi perniagaan peruncit di Malaysia ke arah e-dagang dan internet," katanya. - DagangNews.com