Harapan FGV, Dzulkifli teruskan transformasi | DagangNews Skip to main content

Harapan FGV, Dzulkifli teruskan transformasi

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan bersama Pengurusan Kanan FGV menyambut kedatangan Pengerusi FGV, Datuk Dzulkifli Abd Wahab hari ini. 

 

 

KUALA LUMPUR 1 April - Datuk Dzulkifli Abd. Wahab yang dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif FGV Holdings Berhad diharapkan dapat terus membawa transformasi kepada syarikat perladangan itu. 

 

Beliau dilantik ke jawatan tersebut berkuatkuasa 1 April 2021 bagi menggantikan Datuk Azhar Abdul Hamid.

 

Dzulkifli, 65, mempunyai pengalaman selama 35 tahun dalam bidang perladangan, di mana beliau memulakan kerjayanya dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 1977. 

 

Beliau dilantik sebagai Pengarah Besar FELDA pada tahun 2009 dan memegang jawatan tersebut selama tiga tahun sehingga 2012.

 

 

Datuk Dzulkifli Abd. Wahab
Dzulkifli Abd. Wahab

 

Baca : Felda letak harapan pada Dzulkifli terajui FGV

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan yakin di bawah kepimpinan dan pengalaman luas Dzulkifli, FGV akan dapat meneruskan program transformasi BP21 dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

 

“Bagi pihak kumpulan, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Azhar atas perkhidmatannya sebagai Pengerusi daripada 8 September 2017 hingga 31 Mac 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Semasa menggalas jawatan sebagai Pengarah Besar Felda, Dzulkifli memantau lebih daripada 450,000 hektar ladang terdiri daripada kelapa sawit dan getah dan melaksanakan beberapa pelan tindakan untuk terus memacu nilai sosio-ekonomi melibatkan 112,635 peneroka dan keluarga mereka. 

 

Beliau juga terlibat dalam membuat keputusan peringkat atasan untuk melaburkan dana Felda ke anak syarikat, usaha sama dan syarikat bersekutu.

 

Dzulkifli kemudiannya dilantik sebagai atase pertanian di Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Itali. 

 

Sewaktu menjadi wakil Malaysia, beliau juga mewakili negara dalam Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Program Makanan Dunia dan Pembangunan Pertanian Kewangan Antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. 

 

Beliau juga dilantik dan berkhidmat sebagai Ahli Majlis FAO, Timbalan Pengerusi Kumpulan FAO Asia pada 2014 dan Ahli Jawatankuasa untuk Masalah Komoditi di FAO pada tahun 2015.

 

Kini, beliau merupakan ahli Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH) – Kumpulan Think Tank dan juga Perunding Ketua Industri Tenaga dan Sumber di Evant & Co. - DagangNews.com