KUALA LUMPUR 4 Ogos - Untung bersih Malaysia Smelting Corporation Bhd. bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 melonjak 13.5 kali ganda kepada RM39.45 juta berbanding RM2.93 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat 25% kepada RM408.84 juta daripada RM327.12 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Ini menyaksikan pendapatan pada separuh pertama 2022 (1H22) meningkat 27.4% kepada RM768.3 juta daripada RM603 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Untung bersih pula melonjak lebih 4 kali ganda kepada RM103.8 juta berbanding RM25.1 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi yang lebih kukuh ini dipacu harga bijih timah yang tinggi dan peningkatan pengeluaran tanpa gangguan operasi akibat perintah kawalan pergerakan penuh mulai 1 Jun 2021 dan seterusnya.
Dalam tempoh separuh pertama 2022, harga bijih timah meningkat 52% kepada RM169,700 daripada RM111,500 satu tan metrik pada separuh pertama 2021.
Mengulas mengenai prestasi kewangan kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Patrick Yong berkata, Malaysia Smelting merekodkan pertumbuhan yang kukuh pada separuh pertama di sebalik penurunan harga bijih timah pada suku kedua 2022.
Katanya, bijih timah, sama seperti logam asas lain, telah terjejas dengan ketegangan geopolitik, dan dasar sifar COVID-19 di China yang menyebabkan permintaan lebih lemah.
"Namun begitu, sentimen pasaran dijangka bertambah baik apabila China membuka semula sektor ekonominya dengan penarikan balik perintah berkurung.
"Dengan itu, kami menjangkakan harga bijih timah akan meningkat lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik dalam tempoh terdekat hingga pertengahan," katanya.
Menurutnya, prospek kumpulan masih kekal kukuh didorong prospek bijih timah yang positif dan inisiatif strategik bagi meningkatkan kecekapan.
"Berdasarkan faktor-faktor ini, kami menjangkakan dapat mengekalkan trajektori pertumbuhan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22)," tambahnya. - DagangNews.com