Harga emas stabil di sebalik lonjakan kes COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Harga emas stabil di sebalik lonjakan kes COVID-19

 

 

BENGALURU 15 Dis. - Harga emas mencatat sedikit perubahan pada Selasa selepas pelabur mengambil kira peningkatan jangkitan COVID-19, pelancaran vaksin dan rundingan mengenai pakej rangsangan fiskal Amerika Syarikat (AS). 

 

Setakat 0118 GMT, kontrak emas berada pada AS$1,826.68 per auns manakala niaga hadapan emas AS susut 0.1% kepada AS$1,829.70, menurut Reuters. 

 

Pelancaran vaksin COVID-19 bermula semalam di AS apabila jururawat di unit penjagaan rapi New York mula menerima suntikan tersebut manakala Kanada pula memulakannya dengan pekerja penjagaan kesihatan dan penghuni rumah warga emas. 

 

Sementara itu, kematian akibat wabak ini di AS melepasi angka 300,000 pada Isnin. 

 

Wabak itu terus merebak di seluruh dunia yang menyaksikan sekatan dan perintah berkurung dilaksanakan di Netherland, Jerman dan London. 

 

Dalam masa sama, pemain pasaran juga meneliti rapat perkembangan mengenai perbincangan pakej fiskal bantuan COVID-19 dengan kedua-dua parti cuba untuk mencapai kesepakatan yang terbahagi kepada dua bahagian pada Isnin. 

 

Emas dilihat sebagai lindung nilai terhadap inflasi dan penurunan nilai mata wang. 

 

Pelabur kini menunggu mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS pada Selasa manakala Bank of England pada Khamis.  

 

Pegangan dalam SPDR Gold Trust, dana perdagangan bursa emas terbesar dunia jatuh 0.4% kepada 1,171 tan pada Isnin. 

 

Perak meningkat 0.2% kepada AS$23.87 per auns manakala platinum jatuh 0.1% kepada AS$1,006.54 dan paladium menokok 0.2% kepada AS$2,296.98. - DagangNews.com