Harga IPO Farm Fresh ditetapkan pada RM1.35 sesaham | DagangNews Skip to main content

Harga IPO Farm Fresh ditetapkan pada RM1.35 sesaham

Gambar : Facebook Farm Fresh

KUALA LUMPUR 10 Mac – Farm Fresh Bhd. telah menetapkan harga institusi dan tawaran awam permulaan (IPO) pada RM1.35 sesaham sempena penyenaraiannya di Bursa Malaysia.

 

"Penetapan itu dibuat selepas melengkapkan proses bookbuilding bagi tawaran institusi pada 10 Mac 2022," menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Pada 28 Februari lalu, Farm Fresh melancarkan prospektus penyenaraiannya yang dijangka menjana kira-kira RM1 bilion daripada IPO tersebut membabitkan penjualan 520.2 juta saham dan terbitan awam 223 juta saham baharu.

 

Menerusi langkah penyenaraiannya itu, harga IPO Farm Fresh ditetapkan pada RM1.35 sesaham dengan permodalan pasaran RM2.5 bilion apabila disenaraikan, manakala modal diperbesarkan sebanyak 1.86 bilion saham.

 

Baca : Farm Fresh dalam kedudukan kukuh, Public Investment nilai FV pada RM1.70

 

Ia merancang untuk menggunakan hasil yang dijana daripada terbitan awam berkenaan untuk membina hab pengeluaran, ladang tenusu dan kemudahan bersepadu baharu di Malaysia.

 

Farm Fresh yang sebelum ini dikenali sebagai The Holstein Milk Company Sdn. Bhd.  merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke Filipina, Indonesia dan Hong Kong pada masa akang datang sebagai usaha untuk mengukuhkan jenama itu di luar negara.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Loi Tuan Ee berkata, pendekatan baharu yang lebih strategik perlu digunakan untuk pasaran Filipina dan Indonesia kerana kumpulan itu tidak boleh mengguna pakai perancangan sama seperti di Malaysia untuk kedua-dua negara itu.

 

Menurut firma penyelidikan, Public Investment Bank Research baru-baru ini, Farm Fresh yang bakal menyertai Papan Utama Bursa Malaysia tidak lama lagi dilihat berada dalam kedudukan kukuh sebagai pemain bersepadu dalam industri tenusu di negara ini. - DagangNews.com