Harga makanan mungkin naik tidak lama lagi akibat cuaca melampau, ketegangan geopolitik - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Harga makanan mungkin naik tidak lama lagi akibat cuaca melampau, ketegangan geopolitik - Kenanga Research

Inflasi Malaysia pada Februari 2024 meningkat setelah kekal tiga bulan berturut-turut sebelumnya./Gambar hiasan Alex Hudson Unsplash
Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 26 Mac - Keadaan cuaca yang melampau, perubahan iklim dan ketegangan geopolitik mungkin mendorong harga makanan lebih tinggi dalam jangka masa terdekat.

 

Kenanga Research berkata, selain itu, jangkaan pemansuhan subsidi bahan api RON95 pada separuh kedua tahun 2024 (2H24) dan sektor pelancongan yang semakin rancak boleh memburukkan lagi kenaikan harga.

 

"Inflasi teras diunjurkan kekal lemah pada sekitar 2.0% tahun ini, disokong oleh pengukuhan ringgit yang bersedia untuk mengurangkan kos input yang diimport. 

 

"Selain itu, kami menjangkakan pertumbuhan gaji yang terhad, yang berkemungkinan diterjemahkan kepada perubahan harga yang lebih rendah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

Menurut Kenanga Research, walaupun pelarasan cukai dan perubahan tarif utiliti mungkin mempunyai sedikit kesan, ia tidak dijangka menjadi faktor utama yang mendorong inflasi keseluruhan.

 

"Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin berada dalam corak kekal sepanjang tahun, memandangkan unjuran kadar inflasi teras yang stabil pada purata sekitar 2.0% YoY.

 

"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang teguh antara 4.5% hingga 5.0% pada 2024," jelasnya.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, selepas mendatar pada 1.5% YoY selama tiga bulan berturut-turut, inflasi Malaysia meningkat Februari 2024 seperti dilapor DOSM semalam.

 

Katanya, laporan inflasi 1.8% itu disifatkan sebagai mengejutkan dikaitkan dengan kesan tarif air baharu dan peningkatan perbelanjaan semasa Tahun Baharu Cina.

 

"Terutama, data daripada Trip.com menunjukkan lonjakan masuk yang ketara perjalanan masuk ke Malaysia semasa perayaan CNY tahun ini berbanding 2023, dengan peningkatan ketara sebanyak 53.9%," ujarnya.- DagangNews.com